Perbetulkan pengurusan Covid-19, baru potong elaun - Utusan Malaysia

Perbetulkan pengurusan Covid-19, baru potong elaun

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun wakil rakyat bersedia memotong elaun untuk disumbangkan sebagai dana pengurusan Covid-19, namun pelaksanaannya yang dilihat ‘kucar-kacir’ perlu diperbetulkan dahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani berkata, apa yang penting sekarang adalah memberi vaksin kepada keseluruhan rakyat Malaysia tanpa ketirisan yang melibatkan harga setiap dos.

“Potongan gaji tu patutnya fasa kedua, fasa pertama kena bagi vaksin pada semua rakyat Malaysia, kemudian potong elaun, kemudian ‘lock down’ (sekatan pergerakan penuh) betul-betul, barulah rangkaian Covid tu hapus.
Ini kata ‘lock down’ tapi kilang buka. Macam mana?

“Saya memang tidak ada masalah untuk potong elaun, tapi betulkan perkara ini dulu, kalau menteri potong gaji RM50,000 tapi masuk poket RM50 juta pun tak guna, kan? Contoh saya kata,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sebagai tanda sokongan, barisan jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya sebelum ini.
Bagaimanapun, Abdullah Sani berkata, beliau tiada masalah untuk memotong elaun wakil rakyat sekiranya pelaksanaan tersebut diuruskan dengan baik.

“Saya tidak ada masalah nak potong elaun, tapi kerajaan wajib kena buktikan vaksin ini telus, berapa harga, nilai, kategori mana dapat dulu, ada langkah kedua iaitu pemotongan elaun dan sebagainya. Tapi yang dibuat, potong elaun dulu.

“Sebab itu bila dah bayar RM5 bilion, ditambah lagi RM3 bilion,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, pihaknya bukan tidak mahu membuat pemotongan elaun, namun peruntukan yang diberi kerajaan tidak mencukupi untuk membiayai program kebajikan rakyat dalam masa setahun.

“Daripada Kerajaan Pusat kepada semua Ahli Parlimen baru sahaja diberikan, untuk pendaftaran vaksinasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi RM20,000 sahaja.

“Pemberian RM100,000 Kerajaan Pusat tidak mencukupi, jadi kami gunakan gaji sendiri. Peruntukan untuk pejabat pun tidak diberikan oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

Begitu juga dengan ahli parlimen Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad yang menjelaskan mereka tidak mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan terpaksa menggunakan gaji sendiri untuk menampung program-program di kawasan.

“Masalahnya Ahli Parlimen pembangkang tak dapat peruntukan. Menggunakan gaji untuk sebahagian program-program.. Kalau dapat peruntukan tak ada masalah,” katanya ketika ditanya adakah beliau bersedia memotong gaji untuk membantu rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×