KUANTAN: Para pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 mereka, bulan hadapan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pelajar terbabit akan menerima vaksin jenis Pfizer.
“Kita akan cuba selesaikan dos pertama pada bulan Julai ini membabitkan pelajar SPM 2021.
“Suntikan akan dibuat di sekolah masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan akan menyusun semula jadual pengagihan vaksin Covid-19 bagi membolehkan negeri-negeri yang berisiko banjir diberi keutamaan.
Menurutnya, diharapkan proses pengagihan dapat diselesaikan sebelum bulan Oktober ini.
Ia penting katanya, bagi memastikan proses pengagihan vaksin lancar dan penduduk khususnya di kawasan berisko banjir menerima suntikan.
“Kita harapkan kita akan dapat selesaikannya (pengagihan vaksin sebelum musim tengkujuh).
“Jika tidak, kita akan lihat apa strategi yang boleh kita laksanakan untuk pemberian vaksin pada musim tengkujuh,” katanya. -UTUSAN ONLINE