Pegawai universiti awam dituduh terima rasuah - Utusan Malaysia

Pegawai universiti awam dituduh terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pegawai Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sebelum ini pernah didakwa atas pertuduhan rasuah, dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan sama berjumlah RM32,000 berhubung bayaran baucar tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Mohd.Hakimi Mohd. Badrol Afandi, 44, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama hingga empat tertuduh didakwa sebagai Penolong Pengarah gred N41 di Bahagian Komunikasi Korporat UIAM telah secara rasuah memperoleh wang tunai RM32,000 daripada seorang individu yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Wang rasuah itu kerana tertuduh membantu memudahkan urusan tiga buah syarikat mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucer di universiti itu antaranya ‘The Modification Works IIUM Gallery and Official Launching By IIUM President’ dan ‘Printing Packages of IIUM Corporate Collateral (Executive Diaries, Notebook dan Planner) 2015.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Maybank Jalan Gombak, di Jalan Meranti Taman Setapak di sini antara 13 November 2014 hingga 30 Mac 2015.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh juga turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pilihan sama yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alif Shaharuzaman memohon mahkamah menggunapakai jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin yang sebelum ini telah ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas tertuduh didakwa pada 27 Mei lalu.

Beliau juga memohon agar kesemua kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi tertuduh disana kerana kes hari ini melibatkan transaksi sama.

Selepas mendengar permohonan pendakwaan itu, mahkamah membenarkan permohonan tersebut pihak dan menetapkan 29 Jun ini bagi sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 27 Mei lalu, media melaporkan Mohd. Hakimi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam memperoleh rasuah wang tunai sebanyak RM5,000 daripada individu sama membabitkan kesalahan sama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya