PdPR:Gantung sekolah bukan cara terbaik - Utusan Malaysia

PdPR:Gantung sekolah bukan cara terbaik

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menggantung sekolah bagi pelajar yang tidak hadir tiga hari sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berturut-turut disifatkan sebagai tidak sensitif kepada keadaan semasa pelajar yang sedang menghadapi kesukaran menerusi kaedah tersebut.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata, hukuman tersebut disifatkan sebagai cara lama pemikiran pegawai pendidikan penjajah Inggeris satu ketika dahulu.

Katanya, kerajaan sebaliknya perlu melihat masalah asas terlebih dahulu dengan sistem pengurusan pendidikan yang kini menerapkan faedah aspek berkenaan untuk semua tanpa mengira latar belakang pelajar terbabit.

“Kalau masih mahu hukuman gantung sekolah pada murid-murid, memang boleh, tetapi, alasannya mestilah jelas. Misalnya untuk menjaga keselamatan guru-guru atau murid-murid lain. Bimbang kalau murid-murid yang bermasalah hadir ke sekolah akan mengancam keselamatan orang lain.

“Jadi, memang sesuai ada larangan untuk pelajar terlibat berada dalam kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini berkata, tindakan tegas termasuk menggantung persekolahan murid yang tidak mengikuti sesi PdPR selama tiga hari berturut-turut tanpa alasan kukuh wajar diambil.

Dalam pada itu, Anuar berkata, dalam persekitaran pandemik Covid-19 , semua pihak sepatutnya lebih positif dalam memberikan sokongan dan dorongan untuk meningkatkan motivasi guru dan pelajar.

“Murid-murid tidak hadir PdPR ada tiga sebab utama. Pertama, murid-murid tak ada peranti dan internet sebab mereka miskin. Jadi solusinya, usahakanlah untuk dapatkan peranti dan data internet untuk murid-murid miskin ini terus belajar. Ada peranti rajinlah mereka hadir PdPR.

“Kedua, murid-murid selepas setahun setengah PdPR, mereka dah semakin bosan dengan kaedah PdPR yang sama setiap hari. Ramai guru yang kreatif, tetapi ada juga guru yang tak kreatif. Bila dah bosan, mereka pun tak hadir PdPR. Bayangkan kita sendiri kena hadap PdPR yang sama setiap hari selama setahun, mestilah rasa bosan dan terfikir nak ponteng juga. Apa lagi ini anak-anak kecil. Tahap ingin tahu mereka sangat tinggi. Rutin PdPR yang sama setiap hari akan mengurangkan motivasi pembelajaran mereka,”ujarnya.

Tambah Anuar, masalah lain yang perlu diatasi adalah peranan ibu bapa yang masih tidak memahami sistem PdPR

“Ada ibu bapa yang akan sentiasa minta tolong anak-anak buat macam-macam kerja. Anak-anak akan diminta tolong oleh ibu bapa di dapur, jaga adik, bersihkan kebun dan macam-macam lagi.

“Kalau ibu bapa pun tak kisah anak-anak hadir PdPR ke tidak, mengapa pula ada cadangan supaya anak-anak dihukum gantung sekolah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya