Pas junjung titah Agong agar Parlimen bersidang segera - Utusan Malaysia

Pas junjung titah Agong agar Parlimen bersidang segera

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pas menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya meyakini titah pandangan Seri Paduka adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sebelum ini.

Ujarnya lagi, Pas juga menjunjung titah Agong agar mempercepatkan pemberian vaksin serta penting kerajaan yang stabil dan kukuh berfungsi dengan efektif menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, ia adalah selaras usaha sedang giat dilaksanakan Kerajaan Persekutuan ketika ini.

“Pas yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari. Ia sebagai kayu ukur dalam mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini.

“Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri, Pas melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong kelmarin menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah itu dikeluarkan selepas Sesi Perbincangan Khas berlangsung antara Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas menyanjung tinggi titah pandangan Seri Paduka yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan politiking supaya kerajaan dan dapat memberikan fokus untuk menghadapi wabak serta menjaga kebajikan rakyat terkesan.

Katanya lagi, langkah diambil Agong bertemu dengan para pemimpin politik dan mendengar taklimat agensi-agensi Kerajaan menunjukkan bahawa Seri Paduka amat mengambil perhatian terhadap situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Ini turut membuktikan Institusi Raja-Raja Melayu jelas menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama dan fahaman politik.

“Pas menjunjung kasih ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Raja-Raja Melayu yang mengambil perhatian berat terhadap usaha menghadapi pandemik dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN