Nasib doktor kontrak raih simpati rakyat - Utusan Malaysia

Nasib doktor kontrak raih simpati rakyat

DR M. SUBRAMANIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dalam tempoh sehari diwujudkan, lebih 88,575 orang menandatangani petisyen bagi mendesak kerajaan melakukan penyelesaian segera terhadap status 23,000 doktor kontrak supaya nasib mereka terbela dan diserapkan sebagai pegawai perubatan tetap.

Petisyen yang diwujudkan semalam itu menyasarkan 150,000 tandatangan dan sudah lebih separuh rakyat yang bersimpati dengan nasib mereka menandatanganinya.

Petisyen diwujudkan menerusi laman sesawang www.change.org bertajuk SafeourcontractHCW itu bermula apabila seorang individu bernama Rashidah tampil menggerakkan kempen tersebut agar kerajaan segera menyelesaikan masalah yang berlaku meskipun kerajaan bertukar silih ganti.

“Namun apa gunanya mereka berstatus kontrak yang sebelum itu bertahun-tahun belajar dan menghabis wang beribu ringgit tetapi tidak mendapat balasan setimpal dengan sekadar tidak bertaraf tetap seperti lain,” katanya dalam petisyen itu.

Dalam pada itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. M. Subramaniam berkata, pihaknya berharap sinar baharu terhadap status nasib 23,000 doktor kontrak akan muncul tidak lama lagi setelah Kementerian Kewangan  diberikan penjelasan tentangnya ekoran isu-isu berbangkit selama ini.

Ujar beliau, satu pertemuan berlangsung antara MMA bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini menjelaskan lebih lanjut berhubung masalah berkenaan.

“Dalam pertemuan itu, kami membangkitkan masalah doktor-doktor kontrak yang  berlarutan bertahun-tahun dan mengemukakan cadangan termasuk menyerapkan mereka sebagai pegawai perubatan berstatus tetap.

“Setelah penjelasan diberikan, barulah beliau (Tengku Zafrul) faham terhadap isu berlaku itu dan memberi harapan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera. Sama ada selesai atau tidak, kita tunggu,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin membangkitkan pelbagai persoalan termasuk pihak yang perlu bertanggungjawab untuk melantik dan menyerapkan pegawai perubatan kontrak sebagai kakitangan kerajaan berstatus tetap selepas pelbagai pihak menunding jari sehingga tiada kata putus mengenai isu tersebut.

Hal ini ekoran doktor-doktor kontrak di seluruh negera berhasrat mengadakan mogok yang dijadualkan pada 26 Julai ini bagi memastikan suara mereka didengar dan nasib terus dibela  kerajaan.

Dalam pada itu, Subramaniam menambah, pihaknya berhasrat membawa perkara itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya tiada maklum balas susulan pertemuan bersama Menteri Kewangan.

Ujarnya, ini bagi memberi peluang kepada kementerian berkenaan untuk menyelesaikan isu itu dengan situasi menang-menang antara dua pihak.

Beliau menjelaskan, kini bukan masanya untuk menunding jari dan akhirnya perkara itu tidak akan selesai.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) cakap bukan tugas dia, itu di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kementerian Kesihatan kata bukan tugas dia. Jadi siapa yang bertanggungjawab?. Justeru itu jangan kita terus menuding jari dan bertolak isu kepada pihak lain,” katanya.

Isu pelantikan pegawai perubatan kontrak itu dijangka dibentangkan ke Jemaah Menteri hari ini bagi mencari penyelesaian tuntas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN