Mesir bersedia salur bantuan kemanusiaan Malaysia ke Palestin - Utusan Malaysia

Mesir bersedia salur bantuan kemanusiaan Malaysia ke Palestin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Mesir menyatakan kesediaan membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk menghubungkan ke Gaza.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesediaan itu dinyatakan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi ketika perbincangan beliau bersama pemimpin itu secara persidangan video yang turut menyentuh mengenai isu serantau dan antarabangsa khususnya situasi terkini di Palestin.

“Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

“Dalam hal ini, saya telah membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia-Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

“Alhamdulillah, Tuan Yang Terutama (TYT) Presiden menyatakan kesediaan Kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan perbincangan bersama Abdel Fattah yang julung kali diadakan secara persidangan video itu semalam antara lain memfokuskan kepada usaha untuk menyemarakkan semula hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Mesir terutama dalam konteks politik dan ekonomi.

Kata Muhyiddin, beliau mengambil inisiatif mengemukakan pandangan bahawa sudah tiba masanya Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir di mana Abdel Fattah menyambut baik cadangan ini dan mengalu-alukan perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dapat dilakukan segera.

“Kami juga banyak menyentuh berkenaan isu-isu kepentingan bersama khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

“Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion.

“Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia terbesar di Afrika, saya menggunakan kesempatan itu untuk menggalakkan Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi ini dari Malaysia malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan,” kata beliau.

Perdana Menteri memaklumkan beliau dan Presiden Mesir turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan Malaysia-Mesir pada masa hadapan.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation dan cadangan ini telah disambut baik oleh Abdel Fattah.

“Malaysia juga menyatakan penghargaan ke atas peluang-peluang pendidikan yang diberikan oleh Kerajaan Mesir kepada rakyat negara ini di mana buat masa ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya