SEREMBAN: Wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga perlu tampil memaklumkan masalah yang dihadapi kepada ahli keluarga mereka sebelum berlaku perkara yang tidak diingini seperti kes Jahidah Nordin, yang koma dipukul suami.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, keluarga memaklumkan Jahidah yang kini hamil 14 minggu berubah menjadi seorang yang pendiam dan kurang ceria selepas mendirikan rumah tangga.
“Selain itu, berdasarkan laporan daripada rakan pejabat terdapat kesan lebam pada badan Jahidah sebelum kejadian mangsa cedera parah dipukul suami sehingga koma.
“Kalau dilihat kes keganasan rumah tangga disebabkan beberapa faktor, dalam keadaan sekarang ada yang hilang pekerjaan, masalah ekonomi selain tertekan akibat duduk terkurung di rumah,” katanya ketika ditemui selepas melawat Jahidah yang masih terlantar dan separuh sedar di rumah adiknya di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Menurut Rina, dalam keadaan sekarang pasti ramai wanita yang terjejas, mengalami tekanan emosi dan masalah rumah tangga justeru jangan berasa malu sebaliknya segera membuat aduan.
Rina berkata, keluarga dan masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan membuat laporan menerusi Talian Kasih di 15999 atau berhubung dengan Talian Kesihatan bagi masalah mental jika mengesan sesuatu yang mencurigakan.
“Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Panggilan Talian Kasih, sebanyak 529 kes keganasan rumah tangga telah diterima dan direkodkan sehingga 20 Jun 2021.
“Setiap aduan akan disantuni oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Yang Diberi Kuasa (PKMDBK) di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dan perlindungan kepada mangsa akan sentiasa diberikan terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini,” katanya.
Jelas Rina, kementerian melalui agensi seperti JKM dan Jabatan Pembangunan Wanita juga telah mengambil inisiatif melaksanakan projek rintis bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam menjadikan masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga,” katanya.
Sementara itu, dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan bantuan sebanyak RM1,000, lampin serta barang keperluan lain kepada adik kepada Jahidah, Fauziah Nordin yang menjaga kakak dan kandungan kakaknya itu dengan baik ketika ini.
Tambahnya, JKM juga telah meluluskan Bantuan Pesakit Terlantar sebanyak RM500 sebulan kepada Jahidah.
“Bantuan tersebut bagi menampung keperluan khusus Jahidah yang kini sedang menjalani rawatan pemulihan di rumah dan memerlukan kos penjagaan yang tinggi.
“Sebelum ini, JKM juga telah mengambil tindakan segera menyantuni Jahidah dengan menyalurkan bantuan secara one-off melalui Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 dan bakul makanan,” katanya.
Beliau berkata, JKM dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan bekerjasama membantu kos rawatan Jahidah memandangkan dia kini dijaga oleh Fauziah yang merupakan suri rumah manakala suaminya merupakan seorang pengawal keselamatan.
“MAINS bersetuju untuk memberi bantuan bekalan susu kepada Jahidah yang memerlukan sekurang-kurangnya 15 ke 18 tin susu sebulan dan masih bergantung kepada saluran tiub untuk minum serta makan.
“Selain itu, bimbingan kaunseling juga akan diberikan kepada Fauziah sebagai bantuan sokongan kepadanya yang menjaga Jahidah,” katanya.
Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun. – UTUSAN ONLINE