Malaysia bangun dua vaksin tingkat keupayaan hadapi pandemik -

Malaysia bangun dua vaksin tingkat keupayaan hadapi pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas dipersoalkan mengapa Malaysia tidak membangunkan sendiri vaksin Covid-19 susulan Vietnam dan Thailand ‘berlumba-lumba’ mencipta ‘ubat’ pandemik itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mendedahkan usaha ke arah itu sedang dijalankan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, Malaysia dalam usaha membangunkan dua jenis vaksin Covid-19 yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan.

Menurut, dua vaksin itu ialah daripada jenis utusan asid ribonukleik (mRNA) dan vaksin nyahaktif terhadap Covid-19 atau ‘inactivated vaccine’ dalam usaha meningkatkan kapasiti pembangunan vaksin selain persiapan menghadapi pandemik pada masa hadapan.

“Pembangunan vaksin Malaysia adalah aspirasi negara hasil daripada mesyuarat Majlis Sains Negara pada Ogos tahun lalu.

“Rancangan pembangunan vaksin negara sedang digubal mengambil kira kebolehupayaan negara dari segi penyelidikan, kajian klinikal serta pengilangan melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya di sini semalam.

Adham berkata, Kementerian Kesihatan melalui Institut Penyelidikan Klinikal juga sentiasa memantapkan kebolehan penyelidikan klinikal.

Jelas beliau, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah menjalankan penyelidikan klinikal ke atas 15 jenis vaksin termasuk Covid-19 dan penyelidikan klinikal yang dilancarkan awal tahun ini adalah yang pertama untuk vaksin Covid-19.

“Sementara itu pelbagai rundingan sedang dijalankan untuk negara mengambil bahagian dalam lebih banyak ujian klinikal vaksin Covid-19.

“Ujian klinikal yang dirundingkan termasuk pelbagai jenis vaksin seperti mRNA, inactivated vaccine serta non replicating viral vector,” katanya.

Pada masa ini, Adham berkata, kumpulan penyelidik Kementerian Kesihatan juga terlibat dalam kajian klinikal vaksin Fasa III yang bertajuk Randomized, Double -Blinded, Placebo Controlled Phase III Clinical Trial for the Evaluation of Efficacy and Safety of SARS-CoV-2 Vaccine, Inactivated (Vero Cell) in Healthy Population Aged 18 Years and Above in Malaysia.

Katanya, kajian itu masih berjalan dan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan yang berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi melihat keberkesan vaksin yang diberikan kepada populasi Malaysia, penyelidik Kementerian Kesihatan juga sedang dan akan menjalankan beberapa kajian pasca vaksinasi.

“Antaranya adalah Covid-19 Post-Vaccination Immunity and Disease Surveillance In Malaysia (IMSURE); Post-Covid-19 vaccination immunogenicity surveillance among healthcare workers (VIGILANCE) dan Study on The Immune Response After First Dose of Vaccine Among Recovered Covid-19 Patients and Non-Infected COVID-19 Subjects,” katanya.

Pada masa sama, Adham berkata, inisiatif pengilangan produk pukal kepada produk siap yang dijalankan oleh syarikat-syarikat tempatan pula bakal menyediakan negara untuk proses pengilangan vaksin akan datang.

Beliau berkata, pembangunan vaksin negara adalah penting dan sememangnya akan mengambil masa yang panjang.

Bagaimanapun katanya, usaha-usaha dari pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kesihatan akan mempercepatkan penghasilan vaksin dalam negara.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyatakan pandangan sudah tiba masanya program pembangunan vaksin Covid-19 menjadi agenda utama kerajaan dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) melibatkan saintis tempatan.

Menurut mereka, kerajaan perlu mewujudkan pasukan khas membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat keperluan membangunkan vaksin sendiri termasuk menjalinkan kerjasama dengan negara lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×