Makan di premis antara 122 kesalahan ingkar SOP - Utusan Malaysia

Makan di premis antara 122 kesalahan ingkar SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai masih berdegil untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 718 individu dicekup semalam melibatkan 122 kesalahan daripadanya ialah merentas kawasan dan makan di premis.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 663 dikompaun, 49 direman dan enam lagi dijamin hasil pemantauan yang membabitkan 104,228 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.

“Kesalahan tertinggi semalam masih lagi gagal merekod butiran di premis sebanyak 148 kes diikuti tiada memakai pelitup muka dengan 132 kes, tiada penjarakan fizikal (103), tidak patuh arahan PKP (78), membawa penumpang berlebihan (53) dan lain-lain lagi (82).

“Seramai 58 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan tiga buah kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain sebanyak 21 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui tujuh aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 752 individu yang tiba di tanah air semalam  diarah kurantin wajib bersama sejumlah 7,283 individu terbabit masih lagi berada di pusat itu di seluruh negara. 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat sejumlah 1,580 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya 22 premis yang dikenakan kompaun.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa sejumlah 19 tapak binaan beroperasi dengan sejumlah 13 daripadanya mematuhi SOP manakala enam diarah tutup.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan,  Kampung Nelayan yang terletak di Batu 10 Bahagian Sandakan, Sabah  dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa hingga 4 Julai depan dengan 19 kes positif Covid-19 direkodkan. 

Dua lagi lokaliti di negeri itu ialah Fasa 1 dan 2, Taman Digot, Penampang, Bahagian Pantai Barat serta Kampung Rancangan Silabukan, Peringkat 4, Lahad Datu, Bahagian Tawau termasuk di Kelantan, iaitu Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh.

“Bahagian Mukah, Sarawak yang sepatutnya PKPD berakhir esok dilanjutkan lagi mulai 21 Jun iaitu di Batang Oya, Daerah Dalat meliputi empat rumah panjang Bala anak Umba, Tulu anak Sli, Balik anak Gema dan Duah anak Entingi serta Sekolah Kebangsaan St. Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh.

Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD melibatkan tujuh lokaliti berbeza di seluruh negara pada esok antaranya di Felda Umas 4, Daerah Kalabakan, Bahagian Tawau, Sabah serta Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Daerah Temerloh, Pahang.

“Tidak ketinggalan ditamatkan PKPD ialah di Asrama Pekerja, Kilang Eco Medi Glove, Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping Daerah Larut-Matang-Selama, Perak,” tambah Ismail Sabri.

Bagaimanapun empat lokaliti di Bahagian Tawau, Sabah tamat lebih awal  katanya, berjaya menamatkan PKPD masing-masing lebih awal iaitu Kampung Tanjung Batu Darat; Kampung Blok 31, Kampung Sentosa Blok 5 Hilltop dan Kampung Bukit Kukusan Tanjung Batu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN