KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan menyalurkan sebanyak RM9.78 juta lagi sumbangan kepada rakyat negeri ini yang terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Kadir berkata, bantuan itu disalurkan menerusi Program Prihatin Maik Covid-19 yang kini memasuki fasa kelima, susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara ketika ini.
Katanya, dalam empat fasa Program Prihatin Maik Covid-19 terdahulu, jumlah keseluruhan yang disalurkan oleh pihak Maik bagi membantu rakyat di negeri ini telah mencecah sebanyak RM33.4 juta.
“Bantuan dalam Program Prihatin Maik Covid-19 bagi fasa kelima bertujuan membantu mengurangkan beban golongan sasar di bawah naungan Maik dan terbahagi kepada enam kluster utama.
“Kluster itu merangkumi bantuan khas asnaf dan fakir miskin, peruntukan baik pulih masjid dan surau, elaun pegawai masjid, bantuan Orang Asli, sumbangan makanan kepada petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta penyerahan peralatan hospital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi kluster asnaf dan fakir miskin, sejumlah RM 3.7 juta akan disalurkan kepada 7,522 penerima dengan RM3.6 juta daripadanya merupakan bantuan tetap bulanan kepada 7,322 penerima pelbagai kategori.
Sebanyak RM 2.4 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun imam, bilal, siak, khatib dan lain-lain manakala sebanyak RM3.1 juta lagi digunakan bagi membiayai kerja-kerja baik pulih masjid negeri, bandar dan mukim serta surau di seluruh negeri.
Sementara itu, sebanyak RM 100,000 diperuntukkan untuk membekalkan peralatan kesihatan dan pek makanan kepada petugas di PPV manakala untuk Orang Asli pula, sejumlah RM436,180 diperuntukkan dalam bentuk bakul makanan serta elaun kepada guru agama Orang Asli.
Maik turut menyerahkan dua unit High Flow Oxygen Theraphy Humidifier (HNFC) bernilai RM47,800 melalui dana wakaf untuk kegunaan Hospital Raja Zainab II (HRPZ II) merawat pesakit Covid-19.
Tengku Mohamad Rizam dalam pada itu memberitahu, di sebalik sumbangan disalurkan itu, Maik amat menghargai ‘hero’ yang tidak didendangkan iaitu para pembayar zakat, pewakaf serta mereka yang telah menginfakkan harta masing-masing melalui Maik
“Semoga kita terus dilindungi Allah SWT daripada segala bala dan ujian yang menimpa, dan segera dibuka jalan keluar dari kesulitan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










