Mageran mampu selesaikan pelbagai krisis negara - Utusan Malaysia

Mageran mampu selesaikan pelbagai krisis negara

MUSTAPHA YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Gerakan Negara (Mageran) boleh ditubuhkan ketika ini sebagai satu penyelesaian menyeluruh kepada krisis kesihatan, politik dan ekonomi yang melanda negara pada masa ini.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pembentukan majlis itu tidak hanya terhad kepada peristiwa-peristiwa jika berlaku kekacauan seperti yang pernah terjadi pada pada 13 Mei 1969, sebaliknya Mageran boleh ditubuhkan jika membabitkan soal keselamatan, sosial dan sebagainya.

Menurut beliau, Mageran akan ditadbir oleh beberapa orang yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai contoh pakar ekonomi dilantik untuk menyelesaikan masalah ekonomi selain pakar kesihatan pula dipilih untuk mencari kaedah penyelesaian isu kesihatan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Ia melibatkan orang di luar parti politik yang memahami permasalahan isu semasa sekarang. Jadi, tidak ada masalah nak tubuhkan Mageran dalam konteks negara pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata, negara memerlukan hanya sebilangan kecil mereka yang bijak pandai dalam hal kesihatan, ekonomi dan pentadbiran untuk menguruskan negara.

“Rakyat juga akan dapat melihat pengurusan yang lebih teratur, tersusun dan bermanfaat besar kerana ia ditunjangi pakar dan mereka yang mahir dalam bidang masing-masing.

“Mageran juga dapat mencegah cubaan pihak-pihak tertentu untuk mengambil kesempatan atas sokongan kepada kerajaan PN buat masa ini selain menyelesaikan desakan untuk mengadakan sidang Parlimen,” katanya.

Dalam sidang akhbar hari ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Mageran bagi menangani krisis-krisis yang sedang melanda negara ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut menyenaraikan empat krisis yang dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran.

Menurut Dr. Mahathir, Al-Sultan Abdullah tidak menolak cadangan yang dikemukakan beliau sebaliknya menitahkan bahawa adalah lebih baik cadangan penubuhan Mageran itu datangnya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mageran 1969 pernah dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdul Razak Hussein telah berjaya menyelesaikan masalah politik apabila mengajak parti lawan menyertai kerajaan, malah majlis itu juga menstabilkan politik dan ekonomi negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya