SEREMBAN: Trend pemakaian pelitup muka dua lapis atau double mask membuka peluang rezeki kepada seorang graduan bidang bioteknologi yang menjalankan perniagaan pelitup muka fabrik secara dalam talian.
Syarah Nur Sharif, 27, berkata, idea untuk menjual pelitup muka fabrik itu tercetus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu apabila dia berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pelitup muka yang selesa di pasaran.
“Pada mulanya, saya menjahit sendiri pelitup muka ini menggunakan kain perca yang ada di rumah, saya belajar sendiri menerusi YouTube tentang pola dan cara jahitan.
“Tidak sangka, pelitup muka fabrik tersebut mendapat sambutan terutama daripada kawan-kawan yang suka dengan hasilnya dan sejak dari situ saya menerima banyak tempahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sikamat di sini baru-baru ini.
Syarah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, rezekinya semakin bertambah sejak PKP fasa ketiga bermula April lalu apabila permintaan terhadap pelitup muka jenis fabrik semakin meningkat selari dengan trend pemakaian pelitup muka secara dua lapis.
“Alhamdulillah, ramai yang mencari pelitup muka jenis fabrik jenama Luna Qhaisara yang saya jual menerusi platform secara dalam talian di Instagram @shoping_tym.
“Walaupun dalam fasa PKP dan diuji dengan pandemik Covid-19 ini, saya bersyukur berpeluang memperoleh rezeki tambahan menerusi jualan pelitup muka fabrik ini,” katanya yang memberitahu mampu menjual kira-kira 500 helai pelitup muka dalam tempoh sebulan.
Jelas Syarah Nur, material yang digunakan untuk menghasilkan pelitup muka fabrik tersebut adalah jenis premium lycra yang selesa dipakai selain mempunyai pelbagai pilihan warna.
“Memang trend sekarang pelanggan suka sesuaikan pelitup muka mengikut baju yang dipakai supaya nampak lebih elegan dan cantik.
“Apa yang lebih penting, saya mementingkan kualiti dengan harga mampu milik jadi ramai pelanggan yang sentiasa membuat tempahan untuk diri sendiri atau sebagai hadiah kepada keluarga atau kenalan,” katanya.
Jelas Syarah, pelitup muka fabrik Luna Qhaisara dijual pada harga RM6 hingga RM10 sehelai iaitu lebih murah daripada harga pasaran dan pelanggan boleh membeli dalam set kombo lima atau 10 helai.
Syarah yang juga merupakan seorang tutor di sebuah pusat tuisyen berkata, dia berniaga bukan hanya untuk keuntungan semata-semata, sebaliknya lebih kepada niat bersedekah dengan menjual produk berkualiti pada harga yang murah serta memberi kesedaran tentang kepentingan memakai pelitup muka.- UTUSAN ONLINE