Dua individu didakwa pandu berbahaya, henti kenderaan tengah lebuh raya

Dua individu didakwa pandu berbahaya, henti kenderaan tengah lebuh raya

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya di Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) di Rembau awal bulan lalu.

R Suren, 36, yang merupakan seorang ejen tarik kereta sebagai pemandu kenderaan Volkswagen Passat dituduh telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya secara gopoh dan berbahaya dengan cara memberhentikan kenderaan di atas jalan awam hingga mungkin menyebabkan cedera atau bencana kepada seseorang lain.

Ang Wei Foong, 38, pula sebagai pemandu kereta jenis Volkswagen Golf dituduh telah memandu kenderaan di atas jalan raya secara gopoh dan berbahaya dengan cara memandu secara melawan arus hingga mungkin menyebabkan cedera atau bencana kepada seseorang lain.

Kedua-duanya melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 7.50 petang di Kilometer 225.5, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) berhampiran susur keluar Top Pedas-Linggi pada 1 Julai lalu.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Mereka berdepan pendakwaan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin serta 9 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Rembau.

Dalam mahkamah yang sama, Suren turut berdepan dengan kesalahan di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan iaitu menghalang seseorang dengan salah boleh dipenjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, Suren telah bersama dua individu lagi yang masih bebas membuat halangan salah kepada Ang Wei Foong.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes pada 9 September ini di Mahkamah Majistret Rembau.

Sebelum ini, tular video berdurasi 43 saat di media sosial memaparkan tiga buah kenderaan menyekat aliran trafik di lebuh raya berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN