KUALA LUMPUR: Tiga syarikat penyedia perkhidmatan media sosial telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] setakat 1 Julai 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, syarikat yang telah memperoleh lesen tersebut ialah WeChat International Private Limited, TikTok Private Limited dan Telegram Messenger Incorporated.
“Bagi platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) serta Google (YouTube), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih meneruskan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan terlibat bagi memastikan isu pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan dapat diselesaikan sewajarnya.
“Ia adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) berhubung perkembangan terkini pelesenan platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Instagram dan X di bawah peraturan baharu serta hasil rundingan kerajaan dengan syarikat yang masih belum dilesenkan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bagi platform X, penyedia perkhidmatan tersebut memaklumkan jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna iaitu syarat minimum untuk pelesenan.
“Bagaimanapun, MCMC (SKMM) sedang menjalankan kajian mengenai jumlah sebenar pengguna bagi platform-platform terlibat dan akan meneliti sekiranya terdapat keperluan untuk X didaftarkan sebagai pemegang lesen ASP(C),” jelasnya.
Kerajaan sebelum ini menetapkan keperluan pelesenan terhadap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial berkuatkuasa 1 Januari 2025 sebagai langkah ke arah membentuk ekosistem dalam talian yang lebih selamat terutama kepada golongan kanak-kanak dan keluarga. – UTUSAN










