Penangguhan Levi pelbagai peringkat pekerja warga asing dilanjutkan lagi - Utusan Malaysia

Penangguhan Levi pelbagai peringkat pekerja warga asing dilanjutkan lagi

M SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penangguhan pelaksanaan levi pelbagai peringkat bagi penggajian pekerja warga asing dilanjutkan lagi sehingga 1 Januari tahun depan.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 2 Jun lalu selepas mengambil kira impak pandemik Covid-19 terhadap majikan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kerajaan amat prihatin dengan cabaran negara pada masa kini dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi susulan pandemik Covid-19 yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Beliau berkata, sebelum ini, levi pelbagai peringkat itu ditangguhkan pelaksanaannya dari 1 Januari lalu hingga 1 Julai depan.

“Saya turut memaklumkan ahli mesyuarat mengenai mekanisme pelaksanaan levi
pelbagai peringkat di mana penggajian pekerja warga asing adalah berdasarkan keperluan sebenar industri.

“Levi pelbagai peringkat dijangka dapat mengurangkan kebergantungan tinggi negara kepada pekerja warga asing kerana kadar levi akan meningkat mengikut siling kebergantungan,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Katanya, pihaknya akan menggunakan modul eQuota di bawah Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) bagi melaksanakan levi itu kelak.

Saravanan berkata, FWCMS adalah sebuah sistem digital yang holistik bagi pengurusan pekerja asing di negara ini dengan mempunyai 14 modul berasingan yang saling berhubung kait selain daripada eQuota, eWages, eEnforcement dan eComplaint.

“Aplikasi Working for Workers (WFW) yang kami perkenalkan ada 3 Mei lalu membolehkan pekerja mengemukakan 17 kategori aduan perburuhan secara dalam talian seperti terkandung di bawah modul eComplaint.

“Selain itu, penggunaan modul eQuota juga akan dapat memastikan ketelusan proses penentuan kelayakan kuota pekerja asing kepada majikan dan akan digunakan untuk pengambilan pekerja-pekerja warga asing baru dari negara sumber,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus komited untuk memberikan keutamaan kepada pekerja-pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan sedia ada.

Pada masa sama, Saravanan turut menggesa agar orang awam khususnya golongan belia melayari portal pekerjaan nasional di www.myfuturejobs.gov.my untuk tujuan pendaftaran serta penempatan kekosongan jawatan yang bersesuaian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN