Lagu santai sampai mesej Covid-19 di kawasan PKPD - Utusan Malaysia

Lagu santai sampai mesej Covid-19 di kawasan PKPD

PEMBANTU Penerangan, Hasrulazlinda Hassan (kiri) bersama rakan setugas menjalankan hebahan awam mengenai SOP kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Simpang Juasseh. UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Bagi memberikan mesej kesedaran berkaitan penularan wabak Covid-19 kepada penduduk, Jabatan Penerangan Daerah Kuala Pilah mengambil pendekatan kreatif menyampaikannya menerusi lagu-lagu secara santai oleh van bergerak jabatan tersebut.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah, Shaharuddin Daud @ Abu Hassan berkata, hebahan tersebut turut dilakukan pihaknya di kawasan yang berlaku peningkatan kes Covid-19 iaitu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Simpang Juasseh di sini.

Tambahnya, bukan setakat hebahan berkaitan wabak sebaliknya maklumat meliputi prosedur operasi standard (SOP) turut disampaikan kepada penduduk.

Jelasnya lagi, pengunaan lagu-lagu secara santai melalui van bergerak Jabatan Penerangan itu dilihat berjaya menarik perhatian penduduk yang berada di rumah.

“Di PKPD Simpang Juasseh, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah melakukan hebahan tersebut setiap hari iaitu pada sebelah pagi dan petang. Pihak kami juga sering menjadi tempat pertanyaan penduduk mengenai bantuan kepada mereka.

“Hebahan-hebahan sebegini juga penting bagi memberi penerangan kepada penduduk yang terlibat supaya mereka tahu mengenai keadaan semasa dan memastikan masyarakat sentiasa mendapat maklumat sahih dan tepat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, walaupun pergerakan agak terbatas terutamanya dalam memberi penerangan secara bersemuka ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun, ia juga dapat diatasi menerusi penggunaan media sosial dalam hebahan maklumat.

“Sepanjang PKP ini, Jabatan Penerangan Kuala Pilah telah melaksanakan 25 program hebahan sejak 12 Mei lalu yang meliputi semua kawasan mengikut lima buah Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, tambah Shaharuddin, pihak Jabatan Penerangan juga mengambil peranan membantu individu-individu yang belum mendaftar untuk mengambil suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya