Kurier dadah tulis 'Da Guan Yin' - Utusan Malaysia

Kurier dadah tulis ‘Da Guan Yin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Taktik sindiket pengedaran dadah yang ‘menghantar’ bekalan dengan menggunakan kurier ke alamat tidak wujud terbongkar dengan penahanan seorang remaja di sebuah syarikat penghantaran Bandar Puteri Puchong dekat sini, Rabu lalu.

Remaja berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serdang dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Subang Jaya ketika cuba mengirim bungkusan berisi syabu ke Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, siasatan mendapati suspek yang juga seorang penganggur  ditugaskan oleh sindiket pengedaran dadah untuk mengirim satu kotak mengandungi 20 ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM700,000.

Katanya, pemeriksaan menemukan dua helai baju putih pada bahagian atas kotak manakala di bawahnya terdapat 20 bungkusan bertulis ‘Da Guan Yin’ yang mengandungi ketulan kristal dadah syabu yang dianggarkan berat keseluruhan berjumlah 20.4 kilogram.

“Hasil soal-siasat mendapati suspek berperanan untuk menghantar bungkusan ke destinasi yang diarahkan melalui kurier ke destinasi sasaran sindiket iaitu Kota Kinabalu, Sabah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anbalagan berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah untuk mengesan  penerima kiriman berkenaan namun alamat yang diberikan didapati tidak wujud.

Jelasnya, beliau percaya itu merupakan satu daripada taktik sindiket pengedaran dadah yang tidak akan memberikan alamat penerima yang tepat bagi mengelak dikesan pihak polis sekiranya proses pengiriman gagal.

“Bagaimanapun, mereka hanya akan memberikan alamat tepat apabila apabila syarikat kurier menghubungi dan dalam kes ini penerima mungkin sudah mengetahui bahawa bekalan dadah mereka sudah dirampas.

“Remaja itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan dia boleh dihukum gantung,” katanya.

Anbalagan turut mengingatkan orang ramai untuk tidak terpedaya sekiranya ditawarkan untuk membuat kiriman tanpa mengetahui barang sebenar.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN