PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini mengumumkan pelantikan bagi jawatan pengerusi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, bagi jawatan di MPOB, pihaknya melantik Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPPK Mad Zaidi Mohd Karli sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah MPOB untuk terus mengelola lembaga itu.
Beliau berkata, jawatan pengerusi MPOB kosong selepas peletakan jawatan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob sebelum digantikan dengan Datuk Ahmad Nazlan Idris pada 15 April lalu.
Bagaimanapun, katanya, Ahmad Nazlan menolak pelantikan itu sebelum melantik Mad Zaidi sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah MPOB.
Selain itu, Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin dilantik menjadi Pengerusi LGM bagi menggantikan Ahmad Nazlan berkuatkuasa 15 April lalu.
“Idris akan menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki oleh LGM selain menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khairuddin berkata, Idris juga akan menyediakan pelan strategik baru LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM.
Menurutnya, pelantikan itu bakal nembawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik dan profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus Rabbani yang ditekankan oleh YB Menteri kepada semua pengurusan tertinggi KPPK serta agensi di bawahnya. -UTUSAN ONLINE










