ARAU: Kerajaan perlu patuh dengan pandangan Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, keputusan Majlis Raja-Raja yang mahu Parlimen segera bersidang serta tidak ada keperluan darurat disambung turut memberi tamparan hebat kepada kerajaan PN.
Katanya, kerajaan tidak boleh terus berlengah lagi kerana pelbagai perkara khususnya berkaitan pandemik Covid-19, Pelan Pemulihan Negara dan ekonomi perlu dibincangkan secara penglibatan semua pihak di Parlimen.
“Apabila Majlis Raja-Raja sudah bertitah, kerajaan perlu mengambil langkah drastik. Apabila dinyatakan segera, perlu segera bukan sehingga September atau Oktober baharu hendak diadakan sidang Parlimen.
“Parlimen adalah platform terbaik untuk merungkai segala permasalahan dan ia perlu dilakukan dengan penglibatan semua pihak termasuk daripada pembangkang.
“Persidangan itu penting bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara serta pelbagai lagi masalah berkaitan rakyat dibahaskan oleh ahli-ahli di Dewan Rakyat sebelum sesuatu keputusan itu dibuat,” katanya.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Rusdi berkata, kerajaan PN berdepan risiko jatuh dan hilang kepercayaan rakyat jika masih mengambil pendekatan melengah-lengahkan untuk mengadakan sidang Parlimen.
Dalam masa sama, beliau juga melihat keperluan agar rombakan Kabinet dilakukan dengan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO.
“Kerajaan boleh berubah atau kekal iaitu dua kemungkinan yang boleh berlaku semasa persidangan Parlimen. Disebabkan itu, rombakan Kabinet perlu dilakukan dengan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










