SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menyediakan peruntukan kewangan sejumlah RM10 juta bagi membantu masyarakat di negeri ini yang terkesan dengan penularan Covid-19 termasuk ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh, bermula semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini yang dipengerusikan oleh beliau.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan sejumlah kewangan iaitu sebanyak RM10 juta, bagi memberi bantuan seperti bakul makanan dan perkara-perkara lain yang akan kita perIncikan dalam masa terdekat.
“Ini bagi memastikan bantuan ini dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bagi menghadapi Covid-19 ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar yang dijalankan secara dalam talian hari ini.
Dalam pada itu, ditanya tentang terdapat cadangan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut membuat pemotongan elaun wakil rakyat mereka untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana, Aminuddin menjelaskan, kerajaan negeri lebih awal melakukan perkara tersebut.
“ADUN kita lebih awal potong 10 peratus daripada elaun mereka selama enam bulan, kita telah buat lebih awal daripada itu. Jika ada lagi mahu buat pemotongan, kita amat menggalakkan dan akan memaklumkan,” kata beliau.
Aminuddin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan 2021) Negeri Sembilan pada Disember tahu lalu memberitahu, kesemua barisan exco kerajaan negeri bersetuju untuk memotong sebanyak 10 peratus gaji bagi tempoh enam bulan bermula Januari tahun ini untuk disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Sembilan.
Sementara itu, Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan supaya tiada pergerakan masuk lembu dari luar ke dalam negeri ini susulan terdapat pengesanan penularan penyakit kulit kental (LSD) yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau di Perak.
“Belum ada laporan berlaku di Negeri Sembilan, kami harap ia tidak menular ke Negeri Sembilan jadi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Asas Tani dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri juga telah mengambil maklum tentang perkara tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE










