PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kematian akibat Covid-19 melebihi 80 kes bagi hari ke empat berturut-turut iaitu 81 orang hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus menjadi negeri tertinggi rekod kematian iaitu 30 kes, 14 kes di Kuala Lumpur, 12 kes di Johor, sembilan kes di Negeri Sembilan, lima kes di Sarawak, masing-masing tiga kes di Pahang dan Melaka, dua kes di Labuan serta masing – masing satu kes di Pulau Pinang, Kedah, dan Terengganu.
“Seramai 45 lelaki termasuk tiga warga asing dan 36 wanita berusia antara 26 hingga 97 tahun dengan 55 warga emas dan lima kes tiada penyakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysia juga merekodkan kes positif Covid-19 mencecah 6,000 iaitu 5,803 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 5,193 kes dengan 866 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 435 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 60,646 kes aktif.
Katanya, Selangor terus menjadi penyumbang terbesar iaitu 2,108 kes diikuti Negeri Sembilan (741), Kuala Lumpur (628), Sarawak (491), Melaka (355), Johor (329) dan Pahang (220).
“Lima negeri merekodkan kes di bawah 200 iaitu Sabah (189), Kedah (186), Pulau Pinang (160), Perak (137) dan Kelantan (103).
“Hanya terdapat dua wilayah dan satu negeri merekodkan kes dua angka iaitu Labuan (99), Terengganu (29), Putrajaya (24) manakala Perlis hanya merekodkan empat kes,” katanya.
Mengulas mengenai 14 kluster, beliau berkata, sembilan kluster tempat kerja, dua kluster pusat tahanan, dua kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Kluster tempat kerja katanya, Selangor catat tiga kluster, Industri Tanjung Suria di Kuala Langat dan Sepang (26), Tapak Bina Cybersouth Utama di Sepang (15), Industri Jalan Enam Salak Tinggi di Sepang (11) dan dua di Johor, PLO Jalan Perak di Johor Bahru (10) serta Perindustrian Bakri Satu di Muar (6).
“Empat lagi, Tapak Bina Pintasan Segambut di Kepong, Kuala Lumpur (152), Jalan Usaha Jaya di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (11), Industri Serkam 2 di Jasin dan Melaka Tengah, Melaka (40) dan Bandar Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan (10).
“Dua kluster pusat tahanan, Penjara Jalan Harapan 2 di Gombak (21), Tembok Tawau di Tawau, Sabah (9) manakala dua kluster komuniti, Nyelutong di Samarahan, Bentong, Sibu, Lubuk Antu, dan Sri Aman, Sarawak (39) dan Permatang Pasir Bachok di Bachok, Kelantan (18),” katanya.
Tambahnya, satu kluster kumpulan berisiko tinggi, Changkat Intan di Hilir Perak dan Batang Padang, Perak (35). – UTUSAN ONLINE










