Kedah terima pelaburan tertinggi - Mustapa - Utusan Malaysia

Kedah terima pelaburan tertinggi – Mustapa

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang mendedahkan Kedah sebagai negeri menerima nilai pelaburan tertinggi iaitu RM43 bilion, jauh mengatasi Selangor di kedudukan kedua yang meraih RM8.6 bilion, adalah tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan itu tidak wajar dipertikai kerana bukan merujuk kepada nilai pelaburan sedia ada yang sudah dilaksanakan, sebaliknya nilai pelaburan yang diluluskan di Kedah oleh MIDA.

“MIDA ini, saya sembilan tahun jadi Menterinya (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), dia keluarkan laporan berasaskan kepada dua konsep, pertama pelaburan yang diluluskan manakala kedua, laporan pelaburan yang dilaksanakan.

“Laporan itu tepat merujuk kepada nilai pelaburan yang diluluskan MIDA, bukan yang dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Pejabat Ahli Parlimen Jeli, di sini hari ini.

Menurut laporan dikeluarkan MIDA baru-baru ini, Kedah mencatatkan nilai pelaburan RM43 bilion pada suku pertama 2021, tertinggi di negara ini di hadapan Selangor (RM8.6 bilion) Sarawak (RM6.9 bilion), Sabah (RM5 bilion) dan Kuala Lumpur (RM4.9 bilion).

Invest Kedah Berhad kemudiannya memperincikan pelaburan diterima Kedah bagi tempoh tersebut dengan RM42.23 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) daripada Risen Solar Technology Sdn. Bhd. yang dibawa ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, sebelum bersetuju membuat pelaburan dengan nilai sebegitu besar, syarikat terbabit bukan membuat keputusan ‘sekelip mata’ sebaliknya berdasarkan penilaiannya yang yakin terhadap kemampuan Kedah.

“Ada rakyat, kalau bunyi lebih RM40 bilion itu, dia fikir esok lusa terus dapat (manfaat).. Sebenarnya nak melaksanakan sesuatu pelaburan bukan mudah, kena ada kelulusan tertentu, dari segi tempat dan keluasan, serta dari segi kesan kepada alam sekitar dan lain-lain.

“Bukan sekelip mata satu pelaburan itu dapat memulakan pengeluaran dan mengambil pekerja. Ada proses perlu dilalui namun yang penting sekarang, mereka (Risen Solar) sudah buat keputusan dan ini adalah satu petanda baik untuk negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa menyangkal dakwaan kononnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat ‘separuh masak’, sebaliknya dirancang dengan teliti secara berperingkat.

Selain itu katanya, laporan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sudah 97 peratus hampir siap dan bakal dibentangkan dalam masa terdekat akan turut mengambil kira keadaan semasa seperti penularan Covid-19 dan pasca pandemik tersebut termasuk pelaksanaan PPN. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya