Jurusolek pengantin berniaga kuih tepi jalan - Utusan Malaysia

Jurusolek pengantin berniaga kuih tepi jalan

Shazlyna Kassim (kiri) dan Nurul Adila Jafanan menjual kuih di tepi jalan di Kampung Titi Besi, Arau, Perlis - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 memberi kesan cukup perit dengan ramai yang hilang sumber pendapatan selain ada terpaksa menutup perniagaan.

Begitu juga nasib menimpa seorang jurusolek pengantin, Shazlyna Kassim,30, yang terpaksa menutup kedai diusahakannya sejak empat tahun lalu di Jalan Pauh di sini, selepas sudah tidak lagi mampu menanggung pelbagai kos dalam keadaan tiada tempahan sejak beberapa bulan lalu.

Tidak mengalah berjuang untuk meneruskan kesinambungan hidup dalam keadaan serba mencabar ketika ini, Shazlyna mengambil inisiatif berniaga kuih di tepi jalan.

Shazlyna bersama adik iparnya, Nurul Adila Jafanan, 24, yang turut terjejas selepas kehilangan kerja berikutan PKP menjalankan perniagan pelbagai jenis kuih-muih itu di Kampung Titi Besi, bersebelahan Lebuhraya Arau di sini sejak hampir sebulan lalu.

Kata Shazlyna, majlis-majlis perkahwinan yang memerlukan perkhidmatan solek pengantin sudah sekian lama tidak ada menyebabkan dia hilang punca pendapatan.

Ujarnya, terkesan dengan situasi tersebut mendorongnya bersama adik ipar yang sebelum ini bekerja di kantin sekolah menjalankan perniagaan kuih-muih.

“Kami sebelum itu mencari lokasi sesuai untuk menjalankan perniagaan kuih sebelum memilih kawasan di tepi jalan ini. Alhamdulilah, hasil keuntungan sekitar RM40 hingga RM50 sehari itu cukuplah untuk menampung kehidupan dengan pada sebelah pagi pula saya mengambil upah mengasuh.

“Pendapatan yang diperoleh cukuplah membantu dalam membayar sewa rumah serta menampung kehidupan seharian. Dalam suasana serba mencabar ketika ini, kita perlu berusaha dan mencari peluang yang ada dalam mencari pendapatan,” katanya.

Tambahnya, dia menjual sebanyak 12 jenis kuih antaranya ketayap, karipap, popia dan pelbagai jenis lagi bermula dari pukul 1 petang sehingga 7.30 malam.

“Selain daripada kuih yang dibuat sendiri, ada juga yang turut meletakkan kuih di tempat kami berniaga itu untuk dijual. Insya-Allah jika perniagaan semakin maju, kami akan menambah lagi pelbagai jenis kuih,” katanya.

Dalam pada itu, Shazlyna berkata, orang ramai yang ingin membuat tempahan kuih boleh menghubunginya di talian 019-5109303.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN