SHAH ALAM: Walaupun pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Program Bantuan Pemerkasa Tambahan (Pemerkasa+) melegakan golongan B40, namun berbeza dengan M40 apabila rata-rata daripadanya meluahkan kekecewaan dan berharap kerajaan tidak ‘melupakan’ mereka.
Seorang pegawai eksekutif kawalan makanan halal, Fadhilah Mohd. Radzi, 33, berkata, kerajaan seharusnya turut menyalurkan bantuan kepada M40 kerana golongan itu juga mempunyai pelbagai komitmen yang perlu dilunaskan golongan berkenaan.
“Kita faham mungkin kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan yang baik seperti tahun lalu, tetapi tetap berharap ada ‘sinar’ iaitu sedikit bantuan diberikan kepada golongan M40.
“Sebagai contoh, mungkin kerajaan boleh sediakan bantuan kewangan RM1,000 secara one-off kepada golongan M40 dan ini pun dianggap memadai membantu kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, usahawan, Burhanuddin Mohd. Noor, 32, berkata, sepatutnya kerajaan meminta bank di negara ini untuk memberikan moratorium secara automatik kepada golongan B40 dan M40 selama tiga bulan.

Jelasnya, golongan itu berisiko besar kehilangan kerja atau sebahagian besar gaji mereka dipotong susulan keputusan kerajaan membenarkan sektor keperluan sahaja beroperasi.
“Sekiranya situasi ini berlaku, ia akan menimbulkan masalah besar kepada mereka untuk membayar pinjaman rumah, kereta dan lain-lain lagi kepada pihak bank.
“Saya merayu kepada kerajaan dan pihak bank supaya memberikan moratorium automatik kepada dua golongan ini kerana selain B40, golongan M40 juga turut terjejas ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Muhamad Takiyuddin berkata, golongan M40 seharusnya diberi perhatian kerana mereka juga terjejas dengan pelaksanaan PKP menyeluruh.
“Golongan M40 juga terkesan akibat pandemik Covid-19 tahun lalu. Ada juga yang baharu hendak bangkit dari sudut ekonomi,” katanya.- UTUSAN ONLINE










