PUTRAJAYA: Kerajaan percaya institusi perbankan dapat menyusun struktur kewangan mereka susulan pelaksanaan moratorium enam bulan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, melalui perbincangan dengan pihak bank, mereka boleh menyerap kesan pelaksanaan moratorium.
“Sudah pastinya mereka terkesan dengan moratorium, tetapi, tindakan ini wajar dilakukan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemic Covid-19.
“Saya yakin, pihak bank akan menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat dan memulihkan semua sektor yang terjejas,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Pemulih secara maya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada institusi perbankan mampu mengatasi kesan yang boleh berlaku susulan pelaksanaan moratorium.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
Kata Muhyiddin, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul berkata, faedah terkompaun atau penalti lewat bayar tidak akan dikenakan kepada peminjam yang memohon moratorium automatik.
Ia telah dipersetujui dalam perbincangan dengan pihak bank selepas kerajaan membangkitkan perkara terbabit,” katanya. -UTUSAN ONLINE