Hukuman 'gantung sekolah' tidak wajar - Utusan Malaysia

Hukuman ‘gantung sekolah’ tidak wajar

NORMALA SUDIRMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cadangan mengenakan hukuman gantung sekolah jika pelajar gagal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bukan alternatif terbaik mengatasi masalah pelajar yang dianggap ‘ponteng kelas’.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidikan Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, perkara itu boleh terjadi disebabkan pelbagai situasi termasuklah masalah capaian dan akses internet lemah khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, seharusnya bantuan alat peranti untuk pelajar dalam keluarga B40 diberikan dan ini yang perlu diperhalusi bagi memperkasa PdPR.

“Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM50.4 billion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan kepada sektor pendidikan.

“Ini menjadikan pendidikan sebagai sektor kedua tertinggi selepas sektor kesihatan. Jadi, Pendidik berharap peruntukan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan semasa Covid-19,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menggantung murid yang tidak mengikuti sesi PdPR dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Sementara itu, Normala yang juga merupakan seorang guru berkata, guru diminta agar sentiasa berfikir secara kreatif dan inovatif dalam mengaplikasikan pelbagai kaedah pembelajaran yang menarik dengan mengambil kira situasi semasa.

“Sebagai seorang guru, kaedah ‘online’, ‘offline’, ‘offside’ serta pelbagai cara lagi perlu diperhalusi agar kualiti pengajaran dan pembelajaran mencapai tahap yang diharapkan.

“Insentif khas kepada warga pendidik dengan pemberian data internet tambahan untuk proses pengajaran secara digital, penambahbaikan sistem jalur lebar dan kos alat bantu mengajar juga wajar diberi perhatian oleh kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, kerjasama semua pihak iaitu kerajaan, ibu bapa, warga pendidik, pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan dalam menyelesaikan masalah berkenaan tanpa menuding jari menyalahkan sesiapa.

“Ujian yang berlaku dalam menghadapi ini harus dihadapi dengan semangat dan jiwa besar tanpa mengenal rasa jemu dan putus asa. Semua pihak harus bertolak ansur, empati dan berminda terbuka dalam menerajui perubahan ini.

“Kita tidak mahu ada pelajar yang tertekan sehingga sanggup membunuh diri kerana remaja mudah terpengaruh dan mudah hilang pertimbangan akibat terlalu mengikut perasaan serta rasa kecewa jika keperluan dan masalah mereka tidak disantuni,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN