SURIN: Polis Thailand menahan seorang lagi suspek yang disyaki pengintip Kemboja berhampiran sempadan di wilayah Surin hari ini.
Penahanan itu dibuat selepas menemukan bukti individu terbabit merakam gambar dan menyimpan koordinat lokasi strategik tentera Thailand.
Menurut hantaran Facebook Prat Sam Si, polis tempatan menahan suspek di daerah Phanom Dong Rak ketika dia didakwa sedang cuba mengumpul maklumat perisikan berkaitan kedudukan tentera di kawasan sempadan.
Pihak berkuasa turut menemukan dokumen serta gambar yang dipercayai bertujuan untuk disalurkan kepada pihak musuh.
Pihak berkuasa Thailand menggesa penduduk di kawasan sempadan supaya berwaspada dan segera melaporkan sebarang individu mencurigakan kepada polis tempatan.
Menurut laporan KhaoSod, amaran itu termasuk terhadap sesiapa yang dilihat menunggang motosikal berhampiran kem tentera, merakam gambar di lokasi strategik atau menunjukkan tingkah laku mencurigakan seperti mencatat koordinat.
Dalam insiden hari ini, tentera Kemboja melancarkan serangan roket BM-21 ke atas Prasat Ta Muen Thom, menyebabkan kerosakan besar terhadap mercu tanda bersejarah itu.
Tindakan tersebut mengundang kecaman hebat kerana dianggap sebagai serangan ke atas warisan budaya.- AGENSI











