GEORGETOWN: Kesemua exco kerajaan negeri Pulau Pinang akan menyumbang gaji mereka bagi bulan ini kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, perkara itu diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang yang bersidang hari ini.
Jelas beliau, keputusan itu juga adalah sebagai tanda solidariti dalam usaha melawan pandemik Covid-19 di negeri ini dan sumbangan tersebut akan digunakan dengan sebaiknya termasuk dalam aspek kesihatan awam serta pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.
“Sumbangan ini juga merupakan kali kedua setelah kali pertama diputuskan pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan barisan jemaah menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai bulan ini sebagai solidariti dan sokongan terhadap usaha memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19.
Bayaran gaji tersebut akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
Langkah itu diikuti kumpulan penjawat awam melibatkan pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta penjawat awam bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang akan turut menyumbangkan sebahagian gaji mereka selama tiga bulan. – UTUSAN ONLINE