Dimalukan, Tajuddin mahu ambil tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Dimalukan, Tajuddin mahu ambil tindakan undang-undang

TAJUDDIN Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Chenderong Balai dekat Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercadang mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang memalukan dan menjatuhkan reputasinya berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, bulan lepas.

Menurut Tajuddin, ini kerana laporan-laporan di portal berita mengenai kemalangan itu mencalarkan imej beliau dan memberi gambaran seolah-olah dirinya tidak sensitif terhadap nasib mangsa-mangsa yang terlibat.

Katanya, berita yang dilaporkan itu tidak mengambil keseluruhan situasi sebenar kemalangan, sebaliknya lebih bersifat kontroversi.

Katanya, malah, laporan yang dibuat seolah-olah mempunyai agenda tertentu untuk menjatuhkan imej beliau.

“Saya dimalukan di seluruh Malaysia sebagai seorang yang tidak layak, tidak sensitif, rasis, tidak ikut prosedur operasi standard (SOP) sehingga ada pula yang sanggup buat petisyen agar diri saya meletakkan jawatan. Semuanya bersifat menghentam dan ada pula yang mengambil kesempatan dengan melaporkan kepada polis.

“Ia tidak adil bagi saya, satu hari, saya akan kenal pasti siapa yang beria-ia sangat (menghentam) itu dan ambil tindakan mengikut peraturan undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan prihatin rakyat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen di Chenderong Balai, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu menegaskan, sejak awal sidang akhbar lagi, beliau selaku Pengerusi Prasarana ketika itu melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan insiden yang berlaku.

Menurutnya, ini kerana Prasarana telah bertindak segera dengan mengadakan perbincangan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat termasuk menanggung kos rawatan di hospital dan bantuan khas kepada mereka yang hilang pendapatan disebabkan kemalangan berkenaan.

“Jadi, di mana yang dikatakan tidak prihatin itu?. Saya cabar mereka lihat balik video sepanjang sidang media tersebut dan buktikan saya tidak sensitif.

“Adakah hanya kerana saya bergurau sedikit dan sebutkan pertembungan dua tren itu sebagai kiss each other, maka itu diambil sebagai bahan bahawa saya tidak prihatin dan sensitif?

“Orang yang kenal saya tahu bagaimana saya, tetapi, mereka yang tidak kenal saya ini mainkan cerita-cerita, seolah-olah ada agenda politik untuk menjatuhkan imej saya,” katanya.

Sementara itu, Tajuddin berkata, pemecatan beliau daripada Prasarana bukanlah satu masalah besar bagi dirinya.

“Saya tidak ada masalah dengan perkara itu, tak berdendam pun, pegangan saya berani kerana benar dan biarlah masa yang menentukan kebenaran itu,” katanya.

Dalam kemalangan LRT di laluan Kelana Jaya, Mei lalu, sebuah tren tidak membawa penumpang bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang mengakibatkan 47 daripada mereka parah dan 166 lagi cedera ringan.

Berikutan laporan sidang akhbar yang dikendalikan Tajuddin, kerajaan pada 26 Mei lalu telah menamatkan khidmatnya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana. – UTUSAN 0NLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya