Dicekup leka berjudi, langgar PKP - Utusan Malaysia

Dicekup leka berjudi, langgar PKP

A. ASMADI Abdul Aziz (kanan) menunjukkan peralatan yang digunakan untuk permainan judi jenis poker yang dirampas dalam serbuan di Halaman Menglembu Bestari semalam dalam sidang akhbar di IPD Ipoh hari ini. - -UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 12 individu  termasuk seorang wanita diberkas ketika sedang leka bermain judi jenis poker menggunakan cip dan daun terup dalam dua serbuan berasingan di Halaman Menglembu Bestari di sini semalam.

Semua mereka yang berusia antara 24 hingga 36 tahun itu diberkas dalam Op Dadu oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira pukul 5.45 hingga 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz berkata, ketika serbuan pertama di sebuah rumah dua tingkat, empat lelaki dan seorang wanita sedang bermain judi jenis poker menggunakan cip, daun terup dan wang pertaruhan.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas lapan helai kertas perjudian poker, 439 biji cip pelbagai nilai, 52 keping daun terup, dua set peralatan poker, sebuah meja poker dan wang tunai RM1,745.

“Siasatan mendapati, rumah tersebut disewa seorang daripada suspek sejak dua bulan lalu daripada rakannya yang kini berada di Singapura.

“Berdasarkan semakan, kegiatan judi itu yang menawarkan keuntungan mudah dan rendah risiko turut diiklankan melalui media sosial,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, dalam serbuan kedua di lokasi berhampiran, pihaknya menahan enam lelaki yang sedang bermain daun terup di halaman rumah.

Katanya, hasil serbuan di rumah milik suspek berusia 25 tahun itu, pihaknya merampas 52 keping daun terup dan wang tunai RM769.

“Semakan mendapati, kesemua lelaki yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan jenayah,” katanya.

Menurutnya, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 21A (1) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

“Kita mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada setiap individu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu berkumpul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan manakala kompaun RM25,000 pula kepada pemilik premis,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya