Darurat tidak perlu dilanjutkan - Utusan Malaysia

Darurat tidak perlu dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tempoh pelaksanaan darurat tidak perlu dilanjutkan lagi selepas berakhir pada 1 Ogos ini kerana kuasa proklamasi yang diisytiharkan semata-mata demi membendung Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda kejayaan walaupun selepas lima bulan dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kerajaan sepatutnya mampu dan mempunyai ruang kuasa yang lebih dan boleh berbuat apa sahaja mengatur apa jua strategi dan tindakan secara lebih fokus dan berani dalam melawan pandemik itu.

Menurut beliau, atas alasan darurat juga, Parlimen digantung dan apa-apa keputusan dan tindakan kerajaan tidak dapat dipersoalkan secara rasmi oleh rakyat melalui ahli-ahli Parlimen mereka di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kata beliau, sehingga sekarang, nampaknya kerajaan masih bergelut dengan usahanya dan nyawa rakyat masih dalam bahaya dan peperangan melawan Covid-19 tidak banyak menunjukkan kejayaan seperti diharapkan.

WAN AHMAD WAN OMAR

“Kuasa darurat untuk mengalahkan Covid-19 sudah diberi, maka, selepas lima bulan, sepatutnya menunjukkan hasil, tetapi pelbagai kelemahan dan masalah rakyat dapat diperhatikan.

“Saya berpendapat, darurat tidak perlu lagi dilanjutkan jika Covid-19 tidak berjaya dikalahkan, maka kerajaan ini boleh dianggap gagal dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab tersebut,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, justeru, Parlimen perlu dibuka untuk berfungsi bagi memberi ruang kepada rakyat mendapat jawapan terhadap banyak persoalan dan perkara yang rakyat perlu tahu.

Melalui Parlimen, katanya, rakyat secara tidak langsung berhak untuk turut terlibat dalam urusan pentadbiran negara selaras dengan tuntutan sistem demokrasi berparlimen.

“Tetapi, jika Parlimen terus ditutup, maka, tujuan darurat  diisytiharkan boleh dianggap telah disalah gunakan kerajaan untuk pencapaian matlamat lain.

“Di bawah sistem demokrasi,  jika sebuah kerajaan itu dianggap lemah, bererti, Kabinetnya gagal berfungsi baik menjalankan  tanggungjawabnya, maka, sewajarnya kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu agar sebuah barisan jemaah menteri baharu dapat dizahirkan untuk negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar diadakan pada tahun depan selepas 80 peratus rakyat dewasa negara ini berjaya divaksinkan sebagaimana perancangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menjelang tahun 2022.

Katanya, pada ketika itu, kerajaan boleh menyerah semula kuasa kepada rakyat untuk menentukan sebuah pasukan baharu bagi menguruskan negara kerana Malaysia hakikatnya  memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

“Apabila hampir 100 peratus pengundi sudah berjaya divaksinasi dengan  sokongan penyediaan dan penguatkuasaan SOP ketat dan terkawal, disokong pula dengan peraturan berkempen yang  terhad melalui kempen digital dan media sosial beserta dengan penguatkuasaan sistem sekatan rentas kawasan yang berkesan semasa tempoh pilihan raya,  saya yakin proses pilihan raya akan berjalan lancar dan terkawal.

“Buat masa ini negara dan rakyat tidak wajar dibebankan lagi dengan tambahan tekanan politik baharu berhubung kerenah pembentukan sebuah kerajaan atau sebuah Kabinet baharu dan  Perdana Menteri serta kerajaan sekarang  wajar dan berhak diberi peluang meneruskan pentadbiran negara,” katanya.

Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan sebuah Kerajaan darurat ditubuhkan dan perlu mempunyai kerjasama daripada semua parti politik dengan dianggotai  sesiapa yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran.

Ahli Parlimen Pengerang itu juga berpendapat pembukaan Parlimen perlu kerana dapat membantu kerajaan menangani isu pandemik Covid-19 yang dilihat dapat membantu dari aspek pengurangan kes positif selain meningkatkan kefahaman rakyat berkaitan wabak itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya