PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Bebas Darurat adalah satu-satunya pihak yang berperanan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan terhadap kedudukan tempoh darurat, bukannya Jemaah Menteri.
Perkara itu termaktub dalam Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menjelaskan penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar mengancam negara berikutan virus Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Salleh Buang berkata, buat masa ini, jawatankuasa itu masih berfungsi seperti mana dinyatakan dalam undang-undang dan tiada pihak lain boleh membatasi peranan tersebut.
Beliau berpandangan, jika ada keperluan Darurat 2.0 sekali pun, ia wajar dikemukakan kepada Parlimen untuk mendapat pandangan dan kelulusan ahli Dewan Rakyat sebelum dipersembahkan kepada Seri Paduka.
“Memandangkan darurat bakal berakhir Ogos ini, Parlimen perlu bersidang segera sama untuk membincangkan keperluan darurat atau tidak. Hal ini kerana sistem demokrasi perlu dihormati di samping demi ketelusan dan akauntabliti kerajaan termasuk badan eksekutif.
“Ia perlu serahkan kepada ahli Parlimen untuk berdebat dan putuskan terhadap keperluan darurat, bukannya hanya satu pihak sahaja. Jika usaha itu memperoleh sokongan ahli Parlimen, perkara itu boleh dibawa kepada Agong terhadap keperluan darurat seterusnya,” katanya.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan kenyataan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Jemaah Menteri bertanggungjawab menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.
Takiyuddin dilaporkan berkata, tidak harus timbul persoalan mengenai sama ada darurat tamat pada Ogos ini atau sebaliknya bakal dibuat atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong memandangkan menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri terus menasihati Seri Paduka dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.
Dalam pada itu, pensyarah Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, meskipun Jemaah Menteri berperanan memberikan nasihat hal ehwal negara namun tetapi soal darurat termasuk tempohnya, Seri Paduka perlu bertindak atas nasihat jawatankuasa khas dan bukannya Kabinet.

Ujarnya, jawatankuasa itu adalah entiti berlainan, malah juga bukan sebahagian daripada badan Eksekutif kerana ia merupakan satu badan bebas dan secara langsung bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Dalam hal ini, Agong sebagai Ketua Utama Negara mempunyai peranan yang dekat untuk memastikan Jawatankuasa Khas Bebas ini dapat memainkan peranannya untuk memberikan nasihat terbaik dan ia perlulah atas konsep integriti.
“Malah peranan Seri Paduka dalam proses mengolah nasihat itu juga amat signifikan kerana setiap nasihat diberikan itu tentunya memberi kesan secara langsung kepada kewibawaan dan keutuhan sistem beraja di negara ini,” ujarnya.
Muhammad Fathi menambah, jawatankuasa khas itu diharapkan berkomunikasi dan melakukan interaksi bersama rakyat agar asas input nasihat kepada Agong mengambil kira kepentingan masyarakat serta tidak menyebelahi mana-mana pihak.
“Walaupun komunikasi jawatankuasa itu dengan Seri Paduka adalah rahsia, tetapi asas keputusan dicadangkan itu mempunyai elemen ketelusan agar nasihat diberikan itu tidak menjejaskan negara,” katanya. -UTUSAN










