‘Covid-19 bukan mainan, suami sihat dan tiada penyakit’ - Utusan Malaysia

‘Covid-19 bukan mainan, suami sihat dan tiada penyakit’

REZA Adnin Roslan (kanan) bergambar bersama keluarganya pada Hari Raya Aidilfitri lalu sebelum meninggal dunia akibat Covid-19 walaupun tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Suami saya sihat tanpa sebarang penyakit dan sentiasa bersenam setiap hari tetapi siapa sangka suami pergi disebabkan Covid-19.”

Demikian luahan Intan Zainab Ismail Ikram, 37, yang kehilangan insan tersayang, Reza Adnin Roslan, 37, selepas suaminya menghembuskan nafas terakhir, kira-kira pukul 4 petang, Jumaat lalu.

Katanya, tahap kesihatan suaminya yang semakin serius semasa di Hospital Hulu Terengganu (HHT) mendorong mangsa ditidurkan atas nasihat doktor bagi memudahkan proses rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Terdahulu, Intan Zainab berkata, suaminya disahkan positif Covid-19 pada 20 Mei lalu berikutan demam dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering di sini selama tiga hari sebelum dipindahkan ke HHT pada Isnin.

“Arwah tidak mempunyai apa-apa penyakit dan menjadi rutinnya bersenam setiap hari, malah amat mementingkan soal prosedur operasi standard (SOP) memandangkan tugasannya di bidang keselamatan pekerjaan.

“Saya mohon Allah SWT mengangkat Covid-19 dari dunia kerana wabak ini bukan mainan, tambahan pula semakin banyak varian dikesan dan kes suami saya merupakan sporadik dan tidak tahu jangkitan dari mana,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Intan Zainab berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya adalah pada tengah malam Khamis lalu dan keesokannya menerima panggilan daripada pihak hospital yang mangsa terpaksa ditidurkan bagi melancarkan urusan rawatan.

Katanya, walaupun bimbang dengan risiko rawatan berkenaan, keizinan tetap diberikan bagi memastikan suaminya lekas sembuh.

“Pada pukul 4 petang, Jumaat lalu doktor memaklumkan suami sudah tiada, menggigil seluruh badan tetapi saya reda dengan pemergian suami.

“Saya kena kuat dengan ujian ini demi anak kami, Reefa Izzara yang berusia tujuh tahun,” katanya yang turut dikesan positif Covid-19 dan ditempatkan di PKRC UiTM Chendering sejak Rabu.

Jenazah Reza Adnin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara di sini pada Jumaat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN