PETALING JAYA : Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun. Tema sambutan tahun ini adalah Pemulihan Ekosistem dan ia juga menandakan bermulanya dekad untuk Pemulihan Ekosistem oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tahun 2021 -2030.
Sambutan kali ini juga amat signifikan dengan beberapa perkembangan semasa dan menurut Laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), kira kira RM 40 trilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global akan hilang menjelang tahun 2050 jika perkhidmatan ekosistem terus berkurangan
Selain itu kemerosotan tanah akan menurunkan produktiviti makanan global sebanyak 12 peratus yang akan menyebabkan harga makanan melambung hingga 30 peratus pada tahun 2040.
Isu lain termasuklah antaranya hampir 700 juta orang dianggarkan akan berhijrah kerana kemerosotan tanah dan perubahan iklim menjelang tahun 2050, penurunan kesuburan tanah di ladang jagung menelan belanja petani Amerika Syarikat sekitar setengah bilion dolar setahun untuk baja tambahan
Isu lain adalah kemerosotan ekosistem akan meningkatkan pertembungan di antara manusia dan hidupan liar dan telah dikaitkan dengan wabak penyakit.
Terdapat banyak laporan menunjukkan kesan negatif daripada aktiviti manusia dan kemerosotan alam sekitar adalah disebabkan oleh perubahan guna tanah.

Menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) S. Piarapakaran, banyak penyelesaian baharu untuk masalah alam sekitar menimbulkan masalah alam sekitar yang lebih baharu dan lebih teruk pada masa akan datang. Penyelesaian-penyelesaian ekstrem ini didorong oleh pelbagai kumpulan berkepentingan dan negara masing-masing.
Beliau berkata, bahaya semasa kepada dunia kita bukan hanya perubahan iklim tetapi juga penggunaan sumber semula jadi yang berlebihan dan pencemaran.
Oleh itu, tidak wajar dan lestari untuk membangunkan penyelesaian ekstrem yang diukur dengan menggunakan pembaris pemanasan global sahaja. Ia juga membingungkan bahawa kerana pemimpin dunia juga secara membuta tuli menyokong tindakan ekstrem ini untuk memaparkan agenda “hijau” mereka.
“Oleh itu, aktiviti melobi dan ketidakmampuan untuk memahami gambaran sebenar akan menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada ekosistem menjelang tahun 2040.
“Adakah dunia bersedia untuk dikaliberasi semula jika ingin memulihkan ekosistem,” soalnya.
Menurut Piarapakaran lagi, nuklear dilihat sebagai teknologi mesra perubahan iklim.
Pada April tahun ini, Jepun mengumumkan akan melepaskan 1.25 juta tan air sisa terawat yang dicemari oleh Loji Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi ke Laut Pasifik secara sepihak.
Malangnya kata beliau, bahaya yang tidak diketahui daripada pendedahan radioaktif terhadap kehidupan akuatik oleh sejumlah besar air sisa ini menimbulkan keresahan dan bantahan.
Beliau turut menyentuh mengenai perubahan guna tanah yang akan menjadi masalah terbesar bagi ekosistem semula jadi.
Ini kerana kawasan berpenduduk padat, industri intensif sumber asli dan perladangan monokrop berskala besar adalah beberapa komponen yang memusnahkan hutan dara.
Perladangan monokrop tidak begitu mesra perubahan iklim dan alam sekitar. Jenis tanaman berbeza mempunyai tahap kesan kepada alam sekitar yang berbeza. Kita perlu menghentikan penggondolan hutan dan mengoptimumkan apa yang sudah kita miliki.
Pecahan populasi penduduk antara bandar dan luar bandar menyebabkan ketidaksepadanan sumber dan pembaziran terhadap pembangunan infrastruktur serta corak penggunaan dengan jurang yang besar.
“Kita perlu mula memanfaatkan sisa kita sebagai sumber kita, “ ujarnya.
Awer juga kata beliau berulang kali mendorong kaedah Penilaian Kitaran Hayat (Life Cycle Assessment) untuk mewujudkan gaya hidup yang lebih lestari dan juga sektor ekonomi.
Ia dapat dilakukan tetapi penggubal dasar lebih memberikan keutamaan kepada strategi game changer untuk melaungkan perkara-perkara kecil dengan tidak melakukan bina negara dengan kaedah yang lestari.
Penggunaan sumber dan hasilnya secara cekap mesti menjadi sebahagian daripada gaya hidup. Sebagai contoh, kejayaan Awer mendorong pelabelan lima bintang mandatori dan Piawaian Prestasi Tenaga Minimum (Meps) untuk produk elektrik adalah pencapaian yang hebat tetapi memerlukan penambahbaikan berterusan agar tetap relevan.
Dalam pada itu beliau berkata, Malaysia perlu mengkaji semula dasarnya dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang lebih perlu.
Katanya, adakah kita bersedia mengikuti penyelesaian ekstrem yang akan memusnahkan ekosistem? Ia sepatutnya bermula dengan pendidikan.
“Berdasarkan pengalaman kami (Awer), banyak kesan negatif daripada sumber yang boleh diperbaharui tidak disebut dengan jelas dalam buku teks.
Ada juga masanya pelajar dibasuh otak (brainwashed) dengan templat “nuklear itu baik dan boleh dikawal” yang diterbitkan untuk mempersiapkan rakyat Malaysia untuk menerima pembinaan loji tenaga nuklear pertamanya
Penyelesaian lestari bukan untuk orang kaya sahaja. Penyelesaian-penyelesaian ini mesti menyokong keupayaan dan kemampuan orang tempatan untuk setiap negara. – UTUSAN ONLINE