PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan pihak pembekal vaksin mematuhi jadual penghantaran supaya matlamat pemberian 300,000 dos vaksin kepada rakyat boleh dicapai dalam masa terdekat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah itu juga sekali gus akan memudahkan segala perancangan yang diatur dengan sempurna untuk memberikan vaksinasi mengikut pendaftaran menerusi lima kaedah yang diperkenalkan dalam semua fasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kalau ikut jadual, kita boleh laksanakan 300,000 sehari suntikan. Isnin lalu telah bermula fasa 3 melibatkan golongan dewasa melebihi usia 18 tahun, kita sudah panggil seorang demi seorang mengikut giliran yang berdaftar,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, Malaysia adalah negara tertinggi di peringkat ASEAN berbanding Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar dan Vietnam dalam pemberian vaksin.
Sehingga kelmarin, jumlah pemberian vaksin Covid-19 ialah 6,554,500 dos dengan jumlah yang diberikan dos pertama ialah 4,749,133 orang manakala 1,805,367 orang juga sudah lengkap menerima dos kedua.
Bagi tempoh itu juga, pemberian vaksin adalah tertinggi iaitu sebanyak 252,773 dos.
“Kita sudah mencapai 14.5 peratus pemberian dos pertama manakala 5.5 peratus bagi pemberian dos kedua,” katanya.
Empat negeri paling tinggi pemberian vaksin adalah di Kuala Lumpur iaitu 46.5 peratus meliputi 825,010 individu, diikuti Putrajaya 32.3 peratus (35,475 orang), Labuan 29.5 peratus (29,395 orang) dan Sarawak 27.5 peratus (775,906 orang).
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Dr. Adham memastikan pembekal menghantar vaksin dengan segera kerana kerajaan sudah membeli dan membayar bekalan vaksin bagi menampung keperluan rakyat, namun belum menerimanya.
Kata Muhyiddin, langkah itu perlu kerana berdasarkan tinjauan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sudah dibuka, ia diuruskan dengan baik tetapi berdepan kekangan bekalan yang tidak mencukupi.
Sebelum ini, Khairy memaklumkan, Malaysia dijangka menerima 37 juta dos vaksin sebelum akhir September ini.
Syarikat pembekal vaksin dari China, Sinovac akan selesai menghantar keseluruhan tempahan 12 juta dos sebelum akhir bulan depan.
Syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat, Pfizer pula akan menghantar 25 juta dos dalam suku ketiga tahun ini.
Malaysia juga akan membeli dua lagi vaksin iaitu keluaran CanSino Biologics Inc. dan vaksin Janssen Covid-19 keluaran Johnson & Johnson selepas dipersetujui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat vaksin berkenaan.
Kerajaan sebelum ini berjaya mendapatkan akses vaksin 110 peratus untuk populasi negara daripada pelbagai pembekal dengan harga keseluruhan sebanyak RM3.16 bilion berjumlah 66.7 juta dos dari lima pengeluar iaitu Pfizer dari Amerika syarikat 32 juta dos, AstraZeneca (United Kingdom) 12.8 juta dos, Sinovac (China) 12 juta dos, Cansino (China) 3.5 juta dos, Sputnik V (Rusia) 6.4 juta dos.
Jumlah itu ditingkatkan daripada perolehan asal 82.8 peratus daripada populasi penduduk sebagai mengambil kira risiko gangguan bekalan seperti sekatan eksport, bahan mentah, kapasiti pengilang dan kelulusan regulatori. -UTUSAN










