BDB salur sumbangan peralatan perubatan kepada HSB - Utusan Malaysia

BDB salur sumbangan peralatan perubatan kepada HSB

TIMBALAN Pengarah Pengurusan Hospital Sultanah Bahiyah, Wan Ahmad Fazli Wan Kamis (kanan) memeriksa peralatan perubatan yang diterima daripada Kumpulan BDB di HSB, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kumpulan Bina Darulaman Bhd. (BDB) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyalur sumbangan peralatan perubatan bernilai RM81,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini sebagai inisiatif membantu barisan hadapan dalam mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

Komunikasi Korporat Kumpulan BDB dalam satu kenyataan di sini memberitahu, sumbangan tersebut ialah 10 Infusion Pump dan 10 Syringe Pump yang merupakan peralatan yang amat diperlukan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB ketika ini.

“Kumpulan BDB memandang serius situasi semasa pandemik Covid-19 di Kedah dan syarikat terpanggil untuk turut serta membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang merawat dan menyelamatkan nyawa rakyat di negeri ini.

“Ini merupakan antara inisiatif Kumpulan BDB bagi membantu para petugas barisan hadapan. Diharapkan dengan sumbangan peralatan perubatan ini, maka, ia sedikit-sebanyak dapat membantu dan meringankan beban pihak hospital,” ujarnya.

Sumbangan peralatan perubatan berkenaan diserahkan kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Zaiton Udin.

Untuk rekod, pada 2020 Kumpulan BDB turut menyumbangkan lebih RM180,000 dalam membantu petugas barisan hadapan dan juga kerajaan negeri dalam menangani wabak Covid-19 di Kedah.

Sumbangan tersebut termasuklah menyediakan juadah makanan dan juga pelitup muka kepada para petugas barisan hadapan di sekitar Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dan juga sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan melalui kerajaan negeri Kedah.

Tambah kenyataan itu, sebagai anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Kumpulan BDB akan terus bersama-sama dalam membantu para petugas barisan hadapan dan juga kerajaan dalam menghadapi wabak pandemik Covid-19 yang masih menghantui negara.

“Para petugas barisan hadapan ketika ini sedang berusaha sedaya-upaya merawat dan menangani wabak Covid-19 dengan sebaik mungkin dan mereka memerlukan sokongan seluruh rakyat untuk bersama-sama mengawal penularan wabak berkenaan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN