PETALING JAYA : Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang bernilai 150 billion ringgit meskipun banyak membantu mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi menimbulkan beberapa persoalan.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, bentuk bantuan yang diberikan amat penting bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat ketika ini.
Namun kata beliau terdapat beberapa perkara yang menjadi persoalan antaranya kata beliau adalah mengapa kebanyakan bantuan disalurkan bermula pada bulan Ogos?
Sedangkan rakyat kata beliau, telah terasa kesan sejak awal Januari lagi dan kini mereka sangat memerlukan bantuan.
Justeru katanya, bantuan perlu disegerakan apatah lagi jumlah yang diberikan juga sebenarnya tidak mencukupi terutamanya bagi mereka yang sudah tiada apa lagi.
Persoalan kedua, apakah petunjuk yang digunakan kerajaan kini untuk menentukan golongan miskin tegar, B40 dan M40 dalam memberikan bantuan?
Ini kerana katanya, jika kita lihat situasi sekarang, tidak mustahil berlakunya perubahan dalam kategori tersebut apabila golongan M40 kini mungkin sudah menjadi B40 dan B40 kini mungkin sudah memasuki fasa awal miskin tegar.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pemberian moratorium memerlukan permohonan?
Sepatutnya kata beliau, moratorium perlu diberi secara automatik tanpa syarat seperti PKP 1.0 dahulu.
Young Syefura juga mempertikaikan mengapa diskaun bil elektrik yang hanya berkuat kuasa mulai bulan Julai.
“Rakyat sudah mula bekerja dari rumah semenjak Mei dan sejak itu penggunaan elektrik berganda, ditambah pula dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Kenapa tidak dimulakan diskaun bermula dari Mei atau Jun? Sepatutnya diskaun ini tidak mempunyai tempoh tamat kerana sehingga kini kerajaan tidak memberikan garis masa bila akan berakhirnya PKP dan pekerja boleh ke pejabat semula, “ ujar beliau.
Menyentuh mengenai kawalan harga minyak masak 5 kilogram pada harga maksimum RM30 untuk sebotol, beliau berkata, harga tersebut masih membebankan
Adalah lebih wajar sekiranya kerajaan memberikan semula subsidi agar harga minyak masak menjadi lebih rendah dan lebih berpatutan untuk kegunaan pasaran domestik?
“Kerajaan sekali lagi telah membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi program i-Citra dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana ia adalah wang simpanan untuk masa depan rakyat apabila mereka sudah berusia nanti, “ujarnya.
Dalam pada itu, terdapat juga perkara yang tidak disentuh dalam pelan tersebut terutamanya mengenai bantuan laptop yang telah bentangkan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021 lalu.
Beliau mempersoalkan di manakah bantuan laptop untuk anak-anak yang memerlukan? Serta apakah perancangan kerajaan untuk menaik taraf capaian internet di kawasan-kawasan luar bandar?
Beliau hairan kenapa hal ini tidak dimasukkan sekali dalam pelan Pemulih ini dan tiada peruntukan untuk perkara ini melalui pakej bantuan tersebut
“Kita saban hari mendengar keluhan rakyat mengenai capaian internet yang begitu teruk. Tidak guna memberikan 1GB data secara percuma namun tidak menyelesaikan masalah peranti dan capaian internet untuk kegunaan rakyat. Ia bagaikan memberi pancing kepada mereka yang hidup di gurun.
“Saya juga mengucapkan syabas kepada kerajaan dan Perdana Menteri kerana akhirnya mereka sedar kesilapan mereka apabila tidak menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang telah menyebabkan ramai rakyat keciciran daripada menerima bantuan.
“Saya berharap peruntukan sebanyak RM 300,000 dapat disalurkan secepat mungkin agar rakyat tidak lagi menjadi mangsa, “ ujarnya. — UTUSAN ONLINE









