PUTRAJAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memanggil sidang Parlimen sebelum 31 Julai atau melantik Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin UMNO bagi mengatasi kemelut politik yang melanda negara sekarang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bersikap terbuka dan melantik pemimpin UMNO menjadi Timbalan Perdana Menteri sebagai timbal balas sokongan parti itu kepada kerajaan PN iaitu mengutamakan pemimpin parti mengikut hierarki dan bukannya mereka yang bukan Ahli Majlis Tertinggi.
“UMNO telah membuat keputusan untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN pada 1 Ogos ini. Jadi memang sepatutnya kepimpinan UMNO kekal dengan keputusan tersebut.
“UMNO kena berani buat keputusan. UMNO mesti ambil keputusan yang tegas untuk meninggalkan PN, sebab jelas pada rakyat kegagalan kerajaan PN sekarang dalam mengendalikan urusan pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun, dua pilihan itu boleh dipertimbangkan jika tidak mahu UMNO menarik diri daripada kerajaan PN,” katanya di sini semalam.
Ahmad Faris berkata, imej UMNO ketika ini terjejas teruk dan kelihatan pada mata rakyat pemimpin UMNO mementingkan jawatan sahaja.
Katanya, UMNO mesti bergerak ke depan dengan membuat satu tajdid atau pembaharuan dalam gerakan politik iaitu memimpin dalam satu jajaran politik baharu.
Beliau menjelaskan, rakyat menantikan satu pendekatan politik baharu yang boleh memberi keyakinan ke arah masa depan Malaysia yang lebih stabil.
“Kalau UMNO menarik diri daripada PN tidak semestinya perlu ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Yang di-Pertuan Agong masih ada pilihan lain yang mana artikel 43(2) dan 150 Perlembagaan Persekutuan memberi ruang kepada Seri Paduka untuk melantik Perdana Menteri baharu tanpa perlu mengadakan PRU-15.
“Contoh terbaik seperti apa yang berlaku dalam krisis politik di Perak pada 2009,” katanya. – UTUSAN ONLINE










