PARIT BUNTAR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di Taman Kerian Tambahan di sini mulai tengah malam ini hingga 19 Jun melibatkan 1,226 penduduk di 335 buat rumah di kawasan perumahan itu.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati kawasan terlibat mula dipasang kawat duri oleh anggota tentera.
Kawat duri dipasang di seluruh taman perumahan itu termasuk batu penghadang jalan di setiap laluan keluar masuk di situ.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, seluruh laluan kawasan perumahan itu ditutup dengan batu penghadang jalan bagi mengekang pergerakan keluar masuk kecuali di Jalan Laksamana berhampiran Indah water.
“Semua laluan keluar masuk ke taman perumahan ini ditutup dengan batu penghadang jalan kecuali di Jalan Laksamana yang mana di situ terdapat khemah polis yang telah didirikan untuk mengekang pergerakan keluar masuk ke kawasan ini.
“Kita juga meminta kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri di sepanjang kawasan perumahan itu bagi memastikan tiada penduduk yang keluar masuk ke sini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurutnya, penduduk yang tinggal berhampiran sempadan negeri ini iaitu di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan Bandar Baru, Kedah perlu mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang sah untuk membuat urusan di negeri ini terutamanya di mukim Parit Buntar.
“Kita faham masalah mereka yang membuat pelbagai urusan seperti perbankan dan sebagainya di mukim ini kerana tinggal berjiran namun undang-undang perlu dipatuhi sebagaimana yang diwartakan,” katanya.
Mazuki menasihatkan orang ramai mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“SOP untuk kebaikan bersama bagi mencegah penularan pandemik ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE