Wujud dana khas bantu usahawan - Utusan Malaysia

Wujud dana khas bantu usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peniaga-peniaga kecil di negeri ini menyarankan kerajaan menubuhkan dana khas untuk membantu usahawan dan peniaga kecil yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 12 Mei lalu.

Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (iMcom), Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, peruntukan untuk dana khas berkenaan juga boleh diperoleh menerusi pemotongan elaun dan gaji Ahli Parlimen, Menteri dan Timbalan Menteri bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Selepas pengisytiharan darurat, Ahli Parlimen tidak bersidang di Dewan Rakyat, jadi adalah lebih baiknya jika elaun dan gaji mereka dipotong dan disalurkan kepada peniaga kecil.

“Kami mencadangkan elaun dan gaji mereka (Ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Menteri) dipotong sekitar 30 hingga 40 peratus untuk disalurkan ke dalam dana khas bagi membantu peniaga kecil ini ketika PKP dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

PKP dilaksana di seluruh negara dengan larangan baharu berkaitan aktiviti Aidilfitri berkuat kuasa 12 Mei hingga 7 Jun depan namun semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Mohamed Rizwan yang juga seorang peniaga kafe berkata, PKP kali ini dijangka berlarutan dalam tempoh lebih lama memandangkan kes Covid-19 semakin meningkat pada masa ini.

“PKP kali ini diumumkan secara mendadak, peniaga tidak sempat bersedia kerana baru sahaja memulakan perniagaan.

“Kami berharap pemotongan elaun Ahli Parlimen itu akan dapat dilaksanakan secara sukarela untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu (Gapema) Pulau Pinang, Zainol Abidin Ismail berkata, pihaknya juga menyokong saranan supaya elaun dan gaji Ahli Parlimen dipotong untuk dimasukkan ke dalam dana khas bagi membantu peniaga.

“Dana kerajaan akan terus menyusut dan kita bimbang sekiranya kerajaan akan jatuh bankrap.

“Jadi langkah terbaik ialah Ahli Parlimen sendiri yang rela menyalurkan bantuan menerusi pemotongan gaji serta elaun mereka buat sementara sehingga keadaan ekonomi pulih dan PKP tidak lagi dilaksanakan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN