Wira Putra gesa Mageran diwujudkan atasi krisis dalam negara - Utusan Malaysia

Wira Putra gesa Mageran diwujudkan atasi krisis dalam negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat dilihat semakin bimbang dengan peningkatan kes baharu pandemik Covid-19 ditambah pula dengan ancaman keselamatan yang ditimbulkan Israel baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, negara kini berada dalam Proklamasi Darurat berikutan tercetusnya ketidakstabilan dalam politik berikutan Parlimen digantung.

Justeru, Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan semasa dibubarkan dengan mewujudkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai permulaan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan sistem pentadbiran dan perundangan.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, memberitahu, semua pemimpin masyarakat, parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenepikan sengketa dan bersinergi untuk mengembalikan kesejahteraan negara.

Justeru beliau memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk mewujudkan Mageran.

“Rakyat semakin gelisah dengan ancaman Covid-19 dengan kes meningkat setiap hari yang gagal dikawal yang diyakini berpunca dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu dan kebenaran masuk warga luar ke dalam negara sama ada secara rasmi atau tidak yang berkemungkinan menjadi pembawa jangkitan pandemik.

“Ini kerana pasukan yang dibentuk oleh Perdana Menteri nyata dilihat gagal menangani segala permasalahan hingga satu ke satu musibah datang. Tak cukup ancaman Korea Utara kini Israel pula membuat ancaman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, pemimpin perlu berjiwa besar untuk membenarkan pembubaran kerajaan demi menjaga kepentingan negara dan rakyat melebihi agenda politik mahupun peribadi.

“Sebagai pemimpin yang berjiwa besar, keutamaan menjaga kepentingan negara dan rakyat adalah nilai wajib tersemai dalam jiwa setiap pemimpin. Ia adalah satu nilai yang melebihi segala agenda peribadi dan kepentingan politik mahupun kepentingan organisasi.

“Berlapang dada dan bersatulah pemimpin-pemimpin Malaysia dengan menyokong penubuhan Mageran yang lebih efektif demi kesejahteraan negara pada masa hadapan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya