BUKIT MERTAJAM: Dalam usaha menjadikan bandar Seberang Jaya di sini sebagai zon dan model kebersihan bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menubuhkan sebuah pasukan khas W.A.R (We Are Reliable) atau pasukan ‘Kami Boleh Dipercayai’.
Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud berkata, penubuhan pasukan yang dianggotai 134 kakitangan atau ‘Wira Oren’ itu juga bertujuan menangani isu peningkatan jumlah sampah ketika ini.
Menurut Rozali, purata sampah domestik yang dipungut setiap hari ketika ini sekitar 700 tan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 1,000 tan menjelang hari perayaan nanti.
“Kriteria Zon Kebersihan yang ditetapkan ialah tiada sampah yang terapung, rumput dipotong rapi dan sampah yang diangkat mengikut jadual. Kriteria ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa seperti kawalan pencemaran,” katanya ketika hadir dalam perjumpaan bersama ‘Wira Oren’ di pekarangan bangunan MBSP di sini hari ini.
Rozali berkata, pihaknya juga bersedia memberikan perkhidmatan tambahan bermula sehari sebelum sambutan Aidilfitri bagi memastikan kebersihan di Seberang Perai mencapai tahap yang optimum.
“Untuk itu seramai 426 ‘Wira Oren’ akan mula bertugas pada malam hari raya sehingga semua tong komunal dikosongkan. Pada masa yang sama, seramai 2,059 ‘Wira Oren’ serta kontraktor pembersihan lagi akan bekerja selepas solat sunat Aidilfitri selesai dilaksanakan,” jelas beliau.










