KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) memberi gambaran ingin membentuk kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau tidak kisah untuk membentuk kerjasama dengan PBS memandangkan ia adalah parti tempatan dan mempunyai sentimen dan perjuangan yang sama iaitu demi kepentingan rakyat Sabah.
“Maximus (Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili) kawan lama saya dan saya tahu semangat dan perjuangan mereka. Saya rasa kerjasama parti tempatan amat baik. Namun, sudah tentu kita akan membentuk gabungan dengan parti nasional lain.
“Kita tidak boleh berlagak kita seorang sahaja, kita kena membentuk gabungan tapi dalam masa sama, kita kena memperkukuhkan dalaman parti kita,” katanya semasa sidang akhbar secara dalam talian hari ini.
Mohd. Shafie, pihaknya tidak pasti jika PBS bersedia untuk bekerjasama kerana beliau hanya memikirkan kepentingan rakyat Sabah.
“Sekiranya PBS membantah, tiada masalah kerana saya cuma ingin menyatakan kemungkinan untuk bekerjasama dengan mereka demi memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Bagaimanapun beliau masih belum berhubung dengan Presiden PBS itu atau sesiapa dalam parti tersebut selain perkara itu juga belum dibincangkan di peringkat kepimpinan Warisan.
Menurutnya, UMNO juga menunjukkan minat ingin bekerjasama dengan Warisan tetapi mereka hanya mahu mendengar kemahuan sendiri sahaja.
Mohd. Shafie berkata, dalam pilihan raya akan datang tiada parti tunggal yang akan mengetuai kerajaan, bukan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Atas sebab itu katanya, Warisan mahu memperkukuhkan parti sendiri terlebih dahulu sebelum melihat kerjasama yang akan terbentuk.
“Kita tidak bekerjasama untuk mendapatkan jawatan menteri sebaliknya ingin membina sebuah negara,” katanya.










