SEREMBAN: UMNO Bahagian Seremban difahamkan telah membuat keputusan untuk meletakkan calon mereka bagi bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Keputusan tersebut dikatakan telah dibuat pada mesyuarat bahagian tersebut baru-baru ini dan ia telah dibawa ke pengetahuan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, kini terpulang kepada kepemimpinan tertinggi parti sama ada untuk memberi peluang kepada calon UMNO menandingi kerusi tersebut yang secara tradisinya ditandingi oleh MCA.
“Berdasarkan jumlah pengundi Melayu di kerusi ini iaitu menyaksikan 53 peratus daripada jumlah keseluruhan pemilih ketika ini, insya-Allah, UMNO boleh meraih sokongan terutama dalam kalangan pengundi atas pagar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Senawang, dekat sini semalam.
Pada tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Pemuda UMNO Bahagian Seremban mendesak supaya Seremban tidak lagi ditandingi oleh calon MCA selepas parti itu tewas kepada DAP di kerusi tersebut dalam tiga pilihan raya umum berturut-turut.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DAP yang diwakili oleh calonnya iaitu Anthony Loke Siew Fook menang di kerusi Parlimen Seremban dengan majoriti 30,694 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mendapat 24,809 undi serta calon Pas, Shariffuddin Ahmad memperoleh 11,506 undi.
“Seperti mana Pemuda UMNO Bahagian Seremban desak, Alhamdulillah UMNO Bahagian Seremban telah bersetuju untuk UMNO bertanding kali ini.
“Kepada MCA, saya berharap mereka berlapang dada dan berjiwa besar untuk memberi laluan pula kepada UMNO untuk bertanding selepas ini. Bagi saya, biarlah pemimpin atasan berbincang kerana kita mahu menang,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim berkata, usul supaya Parlimen Seremban ditandingi oleh UMNO telah dibawa oleh Pemuda UMNO dan ia telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban.
“Kita juga membawa usul itu ke dalam Persidangan UMNO bahagian dan telah buat keputusan mendesak pihak kepemimpinan di peringkat Pusat supaya kerusi Seremban itu diserahkan kepada UMNO untuk ditandingi pada PRU-15,” katanya. -UTUSAN ONLINE










