JASIN: Seorang lelaki maut selepas ditikam di bahagian rusuk oleh bekas adik ipar yang mengamuk gara-gara ingin mengambil dua orang anak perempuannya di Jalan Berangan Enam, Umbai di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, suspek berusia 32 tahun yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah kemudian bertindak melarikan diri selepas kejadian dan masih diburu pihak polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai ejen produk peralatan rumah disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka akibat kecederaan ditikam.
“Pihak polis menerima laporan pada pukul 7.46 pagi tadi mengenai suspek seorang lelaki Melayu berusia 36 tahun telah datang ke rumah bekas isterinya dalam keadaan mengamuk ingin mengambil dua orang anak perempuan berusia tujuh dan 10 tahun.
“Suspek dipercayai turut membawa pisau sepanjang anggaran enam inci. Suspek kemudian cuba ditenangkan oleh abang iparnya, namun berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam di bahagian rusuk kanan oleh suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, difahamkan suspek telah bercerai dengan bekas isterinya berusia 32 tahun pada Januari lalu dan kedua-dua anak perempuannya di jaga oleh ibu mereka.
“Sewaktu kejadian bekas isteri dan ahli keluarga yang lain termasuk anak-anak berada di ruang tamu dan tidak menyaksi tragedi tersebut kerana terlalu takut.
“Selepas menikam abang iparnya, suspek bertindak melarikan diri bersama-sama senjata dibawa dan polis sedang giat mengesannya,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.










