Tidak mahu negara sekali lagi rugi hingga RM2.4 bilion sehari, pengangguran meningkat - Utusan Malaysia

Tidak mahu negara sekali lagi rugi hingga RM2.4 bilion sehari, pengangguran meningkat

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan tidak menutup sektor ekonomi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini kerana negara boleh mengalami kerugian sebagaimana pengalaman terdahulu apabila kehilangan hampir RM2.4 bilion sehari malah kadar pengangguran meningkat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara sedemikian akan merugikan negara dan menyusahkan rakyat.

Oleh sebab itu, kata beliau, industri dan perniagaan boleh terus beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pemantauan lebih ketat ke atas premis-premis perniagaan, kilang-kilang dan asrama tempat tinggal pekerja untuk mengelakkan jangkitan berlaku dalam sektor-sektor berkaitan.

“Jadi, saya menyeru kepada majikan dan pekerja supaya sentiasa mematuhi SOP di tempat kerja dan melaksanakan dasar bekerja dari rumah untuk mengurangkan kesesakan di tempat kerja,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri pada masa sama mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua para petugas barisan hadapan atas khidmat bakti, penat lelah serta pengorbanan mereka tidak mengira siang dan malam bertugas untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat.

Beliau mendoakan para petugas barisan hadapan diberikan ketabahan dalam menjalankan tugas dan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.

“Ramadan harus mengajar kita untuk lebih bersabar dan senantiasa tunduk kepada perintah Allah. Mudah-mudahan dengan melalui tarbiah ramadan sepanjang sebulan yang lalu, kita akan menjadi insan yang lebih bertakwa dan bertawaduk, lebih tabah dan reda dengan segala ujian dan ketentuan Allah.

“Marilah kita terus berdoa kepada Allah SWT agar diberikan pertolongan kepada segala ikhtiar kita dalam mendepani wabak Covid-19, serta kembali memulih dan memakmurkan negara yang kita cintai ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN