Pengorbanan juara dunia

Pengorbanan juara dunia

Sin Li Jane ketika mengambil bahagian dalam Kejohanan Boling Terbuka Malaysia, April lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CERITAKU

PETALING JAYA: Bagi pemain boling tenpin kebangsaan, Sin Li Jane, kilauan pingat dan trofi hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan panjang yang penuh cabaran, air mata dan kerinduan terhadap kampung halaman di Ipoh, Perak.

Katanya, tidak ramai yang memahami pengorbanan di sebalik kejayaan seorang atlet negara dalam mengharumkan nama negara.

Dilahirkan di Pasir Puteh, Ipoh, Perak, Li Jane yang kini berusia 32 tahun mengakui, meskipun sering menjulang nama negara di persada dunia, jauh di sudut hati, dia sentiasa menyimpan rasa rindu yang mendalam untuk pulang ke kampung halaman.

“Saya berasal dari Ipoh. Jadi kadang-kadang ada rasa sedih sebab tak dapat balik kampung,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, perjalanan menjadi atlet elit bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga dalam tempoh yang lama demi mengejar impian.

Segalanya bermula seawal usia lapan tahun apabila dia pertama kali memegang bola boling di Royal Perak Golf Club, ditemani abang-abangnya.

Minat yang timbul secara suka-suka itu akhirnya menjadi serius apabila dia mula menunjukkan bakat luar biasa.

“Saya mula main boling dengan abang saya masa umur lapan tahun. Dari situ suka main bowling dan mula belajar serta serius dalam sukan ini,” katanya.

Bagi Li Jane, bukan mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran, latihan dan kejohanan sejak kecil namun, segala kesukaran itu diredah dengan penuh semangat kerana dia tahu, tiada jalan pintas menuju kejayaan.

“Cabaran utama adalah untuk bahagi masa untuk belajar, latihan dan kejohanan. Selain itu, masa untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Kesungguhan dan ketekunan atlet kelahiran Ipoh ini nyata membuahkan hasil apabila dia berjaya melakar beberapa kejayaan membanggakan, termasuk muncul juara dunia dalam acara berpasukan pada Kejohanan Dunia 2017.

“Pada masa itu, kita memang pasukan yang kuat. Ia antara detik paling bermakna dalam kerjaya saya,” ujarnya.

Tidak terhenti di situ, tahun lalu, Li Jane melakar satu lagi sejarah peribadi apabila memenangi empat kejuaraan di siri jelajah profesional PWBA Tour di Amerika Syarikat dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahun 2024.

“Itu adalah impian menjadi kenyataan sebagai seorang atlet. Saya memang teringin main di kejohanan Professional dan dapat menang dalam kejohanan yang lebih kompetitif. Syukur semua itu tercapai,” katanya.

Bagi Li Jane, tiada siapa yang lebih menjadi pendorong dalam perjalanan kariernya selain datuk tercinta yang sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

“Ya betul. Datuk saya sangat mendorong untuk saya bermain bowling. Dia sangat bangga dengan pencapaian saya. Dan saya pun rasa gembira bila nampak datuk saya gembira,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN