SPR Kelantan serah notis kekosongan DUN Melor ke Ibu Pejabat - Utusan Malaysia

SPR Kelantan serah notis kekosongan DUN Melor ke Ibu Pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor kepada ibu pejabatnya di Putrajaya, susulan kematian penyandangnya, Dr. Md. Yusnan Yusoff Jumaat lalu.

Pengarah SPR negeri, Fakhrul Razi Ab. Wahab berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) bagaimanapun, tidak akan diadakan kerana proklamasi darurat negara dikuatkuasakan pada masa ini ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Kita sudah menghantar notis berhubung perkara itu ke Ibu Pejabat SPR selepas Speaker DUN membuat pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Melor, semalam.

“PRK tidak boleh diadakan kerana pelaksanaan proklamasi darurat dan hanya boleh diteruskan sebaik sahaja proklamasi ini tamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yakub berkata, keputusan sama ada PRK Melor diadakan atau tidak hanya akan diputuskan oleh SPR.

Menurutnya, mengikut peraturan, PRK perlu diadakan kerana tempoh matang selama tiga tahun masih belum cukup dan berbaki sembilan hari daripada tarikh bekas wakil rakyat tersebut meninggal dunia pada Jumaat lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN