MELAKA: Pihak polis masih menjalankan siasatan dan belum mengenakan kompaun terhadap Datuk Awie yang dipercayai telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya bagaimanapun telah mengambil keterangan pihak penganjur dan Awie, petang semalam.
“Siasatan masih diteruskan kerana kita masih belum mengambil keterangan beberapa orang daripada persatuan beca yang turut terlibat dalam kejadian tersebut.
“Apabila selesai nanti, kita akan hantar terus kertas siasatan yang lengkap kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporkan beberapa buah media semalam yang menyatakan Awie sudah membayar denda terhadap kesalahannya itu.
Menurut laporan tersebut, perkara itu disahkan pengurus penyanyi rock tanah air itu, Mubarak Akhtar.
Razali berkata, setakat ini kontinjen Melaka tidak menerima apa-apa bayaran denda daripada Awie.
“Siasatan belum lengkap, bagaimanapun pula denda telah dibayar?
“Kita akan lengkapkan siasatan kes ini secepat mungkin. Orang boleh bercakap apa sahaja, namun di pihak kami, kita tunggu tindakan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya sahaja nanti,” katanya.